KLANG - Dua lelaki diberkas dipercayai mencuri kabel tembaga di rumah pam air di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kedua-dua suspek ditahan berumur lingkungan 20 an.
Menurutnya, penangkapan terhadap kedua-dua suspek dijalankan setelah polis menerima laporan daripada seorang juruteknik berkaitan kejadian kecurian di lokasi kejadian pada 22 Februari lalu kira-kira jam 8.04 malam.
"Rondaan dilakukannya kira-kira jam 3.30 petang mendapati pintu rumah pam air tersebut dalam keadaan terbuka selain kunci pagar telah dipotong.
"Pemeriksaan dilakukan mendapati kabel sepanjang anggaran 150 meter yang berada dalam kawasan rumah pam tersebut telah dipotong," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, anggaran kerugian dipercayai kira-kira RM5000.
"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta yang dinaiki oleh dua lelaki telah memasuki kawasan rumah pam air dan bertindak memotong kabel tersebut," katanya.
Ujar Hoong Fong, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan di lokasi berasingan kira-kira jam 4.30 petang sekitar Jalan Armada Putra, Klang.
"Serbuan dijalankan turut berjaya merampas kabel dan tembaga yang disyaki di curi di tempat kejadian.
"Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.