YAYLADAGI, TURKIYE - Siapa sangka disebalik keceriaan dan keaktifan seorang kanak-kanak lelaki, Waleed Da'bal, 8, tersembunyi seribu kisah duka yang mampu meruntunkan hati sesiapa sahaja.
Ketika ditemui, Waleed sentiasa tersenyum saat lensa kamera merakam gambarnya di Darul Eytam Vakfi, sebuah pusat komuniti dan pembelajaran al-Quran buat pelarian Syria, yang kini bertukar wajah sebagai pusat perlindungan buat 62 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian gempa bumi di negara ini pada 6 Februari lalu.
Bapa saudaranya, Ahmad Da'bal, 36, berkata, Waleed menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas dia, satu-satunya individu terselamat dalam runtuhan kediamannya di Antakya yang mengorbankan bapa, ibu dan dua adik beradiknya.
Malah enam saudara Waleed yang menetap di dalam rumah sama, tingkat paling bawah bangunan setinggi tiga tingkat, turut terkorban.
"Bahkan setiap malam, Waleed akan ketakutan dan saya akan memeluk untuk menenangkannya. Atas faktor itu kami tidak mahu menambah deritanya," kata Ahmad kepada Sinar Harian.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa lebih tujuh juta kanak-kanak terjejas akibat bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria.
Di Turkiye, seramai 4.6 juta kanak-kanak terjejas dengan gempa bumi manakala di Syria dianggarkan berjumlah 2.5 juta kanak-kanak, kata jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), James Elder.
Mengimbau kejadian itu Ahmad berkata, dia yang menetap di kawasan berhampiran terus mendatangi kediaman Waleed kerana keluarganya telah gagal dihubungi.
"Sebaik tiba, terdengar terdengar suara Waleed menjerit, 'keluarkan aku, keluarkan aku' yang datangnya dari celahan runtuhan kediamannya," katanya sambil menjelaskan Waleed hanya dapat diselamatkan selepas dua hari.
Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras itu telah menjejaskan 10 wilayah iaitu Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.
Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye kini meningkat kepada 44,218 nyawa dan jumlah itu akan bertambah memandangkan usaha mencari mangsa di dalam runtuhan masih diteruskan.
Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.
Gegaran itu menyebabkan 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).
Ahmad berkata, Waleed terselamat kerana ketika berlakunya gegaran berukuran 7.8 skala Richter itu, dia tercampak ke bawah katil.
"Selepas termasuk ke bawah katil, siling batu rumahnya runtuh dan menghempap katil berkenaan.
"Keluarganya semua terkorban dia atas katil itu. Selepas tujuh hari baru semua mayat keluarga Waleed dapat dikeluarkan," katanya.
Ahmad menambah, dia dan isteri akan menggalas tanggungjawab untuk memberi perlindungan dan membesarkan Waleed.
"Waleed adalah satu-satunya anak abang saya yang masih hidup. Jadi ini adalah amanah buat saya untuk membesarkannya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengetua Darul Eytam Vakfi, Muhammad Darwish Ali berkata, madrasah yang menempatkan 25 kontena kini jadikan tempat perlindungan buat 290 orang mangsa gempa.
"Sebanyak 42 keluarga datang dari Antakya manakala 20 keluarga lagi datang dari kem pelarian warga Syria di bandar ini," katanya.
Turkiye menempatkan hampir 3.5 juta pelarian Syria, kira-kira separuh daripada mereka telah berlindung di wilayah bencana.
Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.
Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/