PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan menyokong Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’.
Belanjawan 2023 berjumlah RM388.1 bilion ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam menyokong usaha KPT untuk melaksanakan transformasi pendidikan tinggi melalui pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi.
Dalam satu kenyataan kepada media, KPT juga menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan terhadap agenda pendidikan tinggi negara melalui peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.3 bilion, iaitu RM11.7 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM3.6 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan. Peruntukan ini meningkat sebanyak 5.7 peratus berbanding tahun 2022.
Perbelanjaan Pembangunan KPT telah menunjukkan peningkatan sebanyak 22.9 peratus (RM671 juta). Justeru, fokus KPT bagi tahun 2023 adalah untuk menambahbaik fasiliti Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi memastikan infrastruktur, bangunan dan peralatan di IPTA berada dalam keadaan yang kondusif, selamat serta berfungsi dengan efisyen untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.
Dalam mentransformasi pendidikan tinggi melalui teknologi alaf baru, KPT juga akan memberi tumpuan terhadap agenda pendigitalan dalam aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatan, untuk manfaat para penyelidik, ahli akademik dan pelajar-pelajar di IPT.
Usaha pendigitalan ini diharapkan akan dapat memperluas akses pembelajaran berkualiti yang inovatif, fleksibel dan bertaraf global kepada semua pemegang taruh tanpa mengira lokasi.
Di samping itu juga, inisiatif-inisiatif Belanjawan 2023 yang akan menjadi tumpuan KPT adalah seperti berikut:
1. Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga (3) bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus;
Seiring dengan tema Membangun Malaysia MADANI, KPT komited dalam usaha membantu kerajaan mencapai hasrat Belanjawan 2023 melalui pelaksanaan inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada pemegang taruh KPT khususnya, serta komuniti dan masyarakat secara amnya.