Johan dilantik KSU Perbendaharaan MOF, Zulkapli KP JPA

Iklan
Gambar kiri: Johan (kanan) manakala gambar kanan: Zulkapli (kanan) masing-masing dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam berkuat kuasa pada Isnin.

SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan dua pelantikan baharu bagi jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa pada Isnin.

Mohd Zuki dalam satu kenyataan berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) yang baharu ialah Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican manakala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam baharu, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Iklan
Iklan

Tambahnya, pelantikan itu adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas masing-masing dalam bidang berkaitan.

"Pelantikan Johan, 50, adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas beliau sepanjang memegang beberapa jawatan di dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar,” katanya pada Isnin.

Iklan

Jelas Mohd Zuki, Johan merupakan lulusan kelas pertama dari University of Cambridge dan akauntan bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

"Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TALENT CORP), Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.

Iklan

"Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata, Zulkapli, 58, berkelulusan ljazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia, Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji, Jepun.

Jelasnya, Zulkapli telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 31 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1 Disember 1992.

"Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, pembangunan modal insan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), JPA.

"Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp), dan Setiausaha Persekutuan Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah,” ujarnya.

Mohd Zuki yakin melalui kelayakan, pengalaman dan kredibiliti, kedua-dua individu itu dapat menggalas amanah dan tanggungjawab dengan baik.