KAJANG - Sebanyak 27 kedai makan termasuk premis membuang cecair kotor ke dalam longkang menerima notis kompaun dan sebuah diarah tutup dalam Operasi Pemeriksaan Kebersihan Makanan di Bandar Mahkota Cheras, di sini.
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam satu kenyataan memaklumkan, premis terbabit dikenakan tindakan itu kerana tidak menepati tahap minimum kebersihan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan.
"Sementara itu, sebuah kedai makan yang diarah tutup kerana didapati melanggar peraturan di bawah Undang-undang Kecil 62, Undang-undang Kecil Pelesenan Establismen Makanan (MPKj) 2007.
"Pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis berkenaan kurang memuaskan dan mendapat markah kurang daripada 50 peratus," kata MPKj dalam kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, secara keseluruhan sebanyak 61 premis makanan perlu menjalani pemeriksaan namun hanya 36 yang diperiksa apabila 22 premis lagi tidak beroperasi manakala sebuah premis telah menamatkan operasi perniagaan mereka.
"Dua premis makanan yang diperiksa didapati menjalani perniagaan tanpa lesen," tambah kenyataan itu.