Bapa cuba selamatkan anak ditemui lemas

Iklan
Mayat mangsa berjaya ditemui pada jam 10.23 pagi Isnin. - Foto PDRM

KEMAMAN – Seorang buruh kilang yang dilaporkan hilang selepas cuba menyelamatkan anaknya yang dibawa arus sungai dalam satu kejadian di Lubuk Tapeng, Air Putih, di sini pada Ahad ditemui lemas.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, dari Kampung Ibok, berjaya ditemui pasukan mencari dan penyelamat pada jam 10.23 pagi, Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jenazah Mohd Mirwan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Hanyan turut mengucapkan penghargaan kepada pasukan pencari dan penyelamat, orang ramai, penduduk kampung dan pemilik dron yang turut sama membantu mencari mangsa di lokasi kejadian.

Iklan

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Mohd Mirwan dikatakan tenggelam dan tidak timbul selepas masuk ke sungai manakala anak lelakinya berusia 12 tahun berjaya menyelamatkan diri.

Sebelum kejadian, mangsa bersama isteri dan dua anaknya pergi ke Lubuk Tapeng sekitar jam 9.30 pagi untuk memancing dan mandi manda.

Iklan

Berdasarkan keterangan isteri mangsa, kira-kira jam 1.45 petang, salah seorang anak mereka, Muhammad Zafran Aidil dibawa arus ke tengah sungai dan mangsa bergegas menyelamatkan kanak-kanak itu.

Anaknya berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok berhampiran manakala mangsa tidak timbul selepas tenggelam.