KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat pada Isnin kembali tegang apabila perkataan kurang ajar dan biadab kedengaran ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membahaskan Belanjawan 2023.
Gelaran kurang ajar diucapkan Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) kepada Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) apabila cuba mencelah beberapa kali tanpa kebenaran Hamzah.
Hamzah (PN-Larut) ketika itu menyentuh mengenai peruntukan sekolah daif dan klinik daif berjumlah RM1.2 bilion dengan membandingkan peruntukan lebih besar ketika pembentangan Bajet 2023 oleh kerajaan terdahulu, Oktober lalu.
"Saya mahu penjelasan kerana ia masalah besar kepada rakyat. Kalau nak bantu sepatutnya (peruntukan) tidak perlu kurangkan, (harus) kekalkan. Begitu juga dengan klinik daif (peruntukan) tak perlu kurang, tambah lebih baik kerana kampung perlukan klinik di seluruh negara,” tegas Hamzah.
Chuan How kemudiannya bangkit mencelah tanpa mengikut peraturan mesyuarat yang mana ahli dewan perlu diberi kebenaran oleh pembahas sebelum mencelah.
Berikutan itu, Che Mohamad mencelah dengan meminta Chuan How supaya tidak biadab dan mengganggu sesi perbahasan itu.
Shahidan pada masa sama turut menggelarkan Chuan How sebagai kurang ajar.
Sementara itu, penggunaan perkataan ‘menoktahkan’ kemiskinan turut menimbulkan kegusaran kepada Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee apabila ia tidak mampu ditafsirkan dengan baik menerusi Belanjawan 2023.
"Saya menjadi risau dengan istilah ‘menoktahkan’ kemiskinan. Jika diinterpretasi oleh Kuala Selangor (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad), dia nak noktahkan kemiskinan dengan peruntukan RM750 juta dengan memberi kepada keluarga miskin.
"Apabila beri RM750 juta (maka) terkeluarlah mereka dari senarai kemiskinan, (bermaksud) nak keluarkan daripada senarai data. Tetapi dari segi hakiki, tidak berlaku. Kalau inilah teori menoktahkan kemiskinan yang dibuat oleh Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim), ia satu harapan yang palsu,” ujarnya.
Menerusi Belanjawan 2023, Anwar dalam ucapannya menyebut iltizam kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan peruntukan sejumlah RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi.