PENYERANG berbisa Kylian Mbappe melakar sensasi apabila merakam gol ke-200 buat dirinya ketika membantu Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Marseille 3-0 dalam saingan Ligue 1 pada awal pagi Isnin.
Jaringan itu menyamai rekod yang dipegang bekas rakan sepasukannya, Edinson Cavani yang menjadi penjaring terbanyak kelab.
Kemenangan itu sekali gus melebarkan jurang kepada lapan mata mengatasi pencabar terdekat Marseille.
Aksi cemerlang pemain berusia 25 tahun itu mendapat pujian Christophe Galtier yang menyifatkannya sebagai pemain yang menakjubkan.
"Mbappe adalah seorang pemain yang mempunyai kemampuan untuk menghidu gerakan pasukan. Dia juga sangat pantas.
"Dia bukan sahaja mampu berlari malah kelajuan yang cukup luar biasa.
"Kehadirannya penting kepada pasukan. Ia memberi kami pilihan dalam permainan, terutama dengan kualiti serta impaknya di atas padang,” ujar Galtier.
Dalam aksi yang berlangsung di Stade Velodrome itu, Mbappe meledak dua gol dan bintang sensasi, Lionel Messi turut mencatat nama selaku penjaring.
Mbappe ketika ini mendahului senarai penjaring Ligue 1dengan 17 gol dan sudah mengumpul 29 gol daripada 29 perlawanan dalam semua pertandingan sejak kempen bermula.