Peruntukan edar naskhah terjemahan al-Quran wajar - PM

Iklan
Anwar (tengah) melihat buku bertajuk "Bias in Popular Culture" yang dilancarkannya ketika menghadiri Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di Dewan Damar Sari, Kompleks F pada Isnin. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Peruntukan bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia yang dibentang dalam Belanjawan 2023 adalah wajar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah peruntukan itu agak kecil untuk peringkat permulaan dan perkara itu turut memberi manfaat kepada rakyat Malaysia meningkatkan kefahaman mengenai ajaran Islam.

Iklan
Iklan



"Malah ada (ekstrem kanan) melabel pihak yang tidak bersetuju dengan pendirian mereka sebagai liberal, sekular dan (pemikiran) Barat.

"Oleh itu, kena baca balik teks, terjemahan dan tafsir (usaha) ini sekurang-kurangnya boleh menyelamatkan dan mengangkat penghayatan Islam ini," kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai peruntukan kerajaan dalam pengedaran cetakan al-Quran itu yang dikritik sesetengah pihak yang menyifatkan jumlah itu agak besar.

Anwar berkata, usaha ini dapat menggalakkan lebih ramai mendapat akses kepada teks terjemahan dan tafsir kitab suci itu sekali gus meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam mengenai ajaran Islam, selari tradisi aqliyah atau tradisi ilmu.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas, beliau mengumumkan kerajaan menyumbang RM10 juta kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran.

Iklan

Pada 27 Januari, Anwar mengumumkan Malaysia akan mencetak sebanyak sejuta naskah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden baru-baru ini.- Bernama