Kapal pengawal China masih berlegar sekitar Pantai Sarawak

Iklan
Kapal ‘The Monster’ yang dikatakan masih lagi berlegar di sekitar kawasan perairan ZEE Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali.

SHAH ALAM - Kapal-kapal pengawal pantai China dipercayai masih lagi berlegar di sekitar kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Memetik laporan Defence Security Asia (DSA), kapal berkenaan termasuklah CCG 5901 yang juga digelar ‘The Monster’ ekoran beratnya yang mencecah 12,000 tan kini belayar pada kedudukan hanya 55 batu nautika dari pantai Sarawak.

Iklan
Iklan

DSA memberitahu, laporan mengenai pelayaran itu dimaklumkan oleh Ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Raymond M Powell, menerusi ciapannya di akaun Twitter @GordianKnotRay.

Powell yang juga merupakan bekas kolonel dalam Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) memaklumkan, sebuah lagi kapal pengawal pantai China iaitu CCG 5302 turut dikesan berada dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.

Iklan

"Mengikut Konvensyen Undang-undang Laut Penubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, perairan berdaulat milik sesebuah negara adalah sejauh 12 batu nautika daripada kawasan pantai, manakala kawasan perairan ZEE milik sesebuah negara adalah sejauh 200 batu nautika daripada pantai.

"Beting Patinggi Ali yang berada di kedudukan 84 batu nautika atau 155 kilometer (km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak jelas berada dalam perairan ZEE milik Malaysia,” katanya.

Iklan

Menurut DSA, ‘The Monster’ yang merupakan kapal pengawal pantai terbesar di dunia daripada kelas-Zhaotou itu dilaporkan kembali ke perairan Beting Patinggi Ali pada 18 Februari lalu bagi menggantikan rakannya, kapal pengawal pantai China, CCG 5303.

"Kehadiran kapal pengawal pantai gergasi milik China di sekitar Beting Patinggi itu sebelum ini dilaporkan telah dipantau oleh kapal Littoral Mission Ship (LMS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kapal Diraja Keris (KD Keris),” jelasnya.

Untuk makluman, kapal ‘The Monster’ yang seolah-olah mencabar hak Malaysia di perairan ZEE miliknya sendiri di sekitar Beting Patinggi Ali itu telah dibina pada 2016 oleh Jiangnan Shipyard di Shanghai.

Ujar DSA, dengan kemampuan meluncur selaju 25 knot, kapal gergasi berkenaan telah digunakan oleh Beijing seawal tahun 2017 untuk membuat rondaan di Laut China Selatan bagi mempertahankan hak-hak maritim China.

"Dengan berat mencecah 12,000 tan, saiz ‘The Monster’ adalah kira-kira 30 peratus lebih besar daripada kapal-kapal perang kelas-Arleigh Burke dan Ticonderoga Tentera Laut AS.

"Meskipun saiz ‘The Monster’ amat besar, tetapi sistem persenjataan utamanya hanyalah meriam 76 milimeter (mm), dua lagi meriam sampingan berkemungkinan 30mm dan sebuah helikopter,” katanya.

Menurut portal itu lagi, ‘The Monster’ juga dipercayai membawa beberapa pesawat tanpa pemandu dan Underwater Surveillance Vehicle (USV).

"Saiz CCG 5901 yang amat besar itu membuatkan kehadirannya di mana-mana lokasi di Laut China Selatan diberikan perhatian serius oleh negara-negara littoral perairan itu, kerana ia secara simboliknya menggambarkan saiz negara China itu sendiri serta tekanan dan 'kekuasaan' sebuah negara besar terhadap negara jirannya yang jauh lebih kecil,” tambahnya.