PEMAIN beregu campuran,Teoh Mei Xing mengakui tahap keserasian bersama Hoo Pang Roon yang digandingkan bersama sejak tiga bulan lalu semakin meningkat.
Bagaimanapun katanya, persediaan rapi dari segi fizikal dan mental perlu ditingkatkan selepas mengesahkan penyertaan dalam empat kejohanan berturut-turut di Eropah.
Jelas Mei Xing, dia dan Pang Roon juga perlu fokus serta konsisten dalam setiap siri kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam misi memburu gelaran pertama musim ini.
"Saya rasa setakat ini tahap keserasian kami berdua sudah mencecah 80 peratus, namun saya akui masih ada ruang untuk kami perbaiki terutamanya konsisten ketika dalam gelanggang memandangkan pengalaman saya dalam beregu campuran masih kurang.
"Lagipun kami berdua (Pang Roon-Mei Xing) masih belum banyak peluang untuk bermain dengan gandingan campuran terbaik di dunia. Namun, Pang Roon banyak membimbing saya dengan mengajar cara menukar strategi dengan lebih cepat supaya kedua-dua berasa lebih selesa ketika berada dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pang Roon-Mei Xing yang menghuni ranking ke-67 dunia, akan membuka tirai kejohanan Eropah bermula dengan Terbuka Jerman dari 7 hingga 12 Mac, Seluruh England (14-19 Mac), Terbuka Switzerland (21-26 Mac), Masters Sepanyol (28 Mac-2 April).
Pemain berusia 25 tahun itu juga mengakui sentuhan jurulatih dari Indonesia, Nova Widianto banyak membantu mereka memperbaiki kelemahan dalam setiap perlawanan selain sering menasihati mereka untuk mempunyai kepercayaan dan keyakinan tinggi terhadap pasangan ketika berdepan lawan.
Ditanya tahap persediaannya untuk turun bertemu rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di pusingan pertama Terbuka Jerman katanya, latihan sedang giat dijalankan untuk mendapat keputusan positif dalam kejohanan berkenaan.
"Saya tahu mereka (Tang Jie-Ee Wei) punya kelemahan dan mereka juga tahu kami punya kelemahan jadi setiap kali kami masuk gelanggang ia adalah 50-50. Ia bergantung pada tahap persediaan, tahap keyakinan kami hari itu macam mana,” katanya.
Rekod pertemuan sebelum ini, Pang Roon-Mei Xing pernah menewaskan Tang Jie-Ee Wei sekali di Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022, sebelum tewas dua kali berturut-turut di pusingan pertama Terbuka India 2023 dan final kejohanan Cabaran Antarabangsa Iran Fajr awal bulan lalu.