PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan perbincangan intelektual mengikut Maqasid Syariah dan bukan melalui kebencian, dalam respons terhadap Islamofobia.
Dalam ucaptamanya pada Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di sini pada Isnin, Anwar berkata, pembaharuan idea diperlukan di dunia Islam dan barat untuk lebih memahami antara satu sama lain.
"Ia adalah perbandingan idea untuk melihat apa yang tidak kena dengan masyarakat kita. Mengapa kita bercakap tentang ideologi dan agama tanpa kebimbangan kemanusiaan dan belas kasihan?
"Kita di Malaysia mengambil pendekatan yang sangat sederhana, memahami untuk bekerjasama dengan semua orang. Saya tidak fikir kita perlu terus mengungkit tentang ketidakadilan yang melampau di barat,” kata beliau.
Perdana Menteri juga berharap Malaysia dapat menganjurkan persidangan pada masa hadapan yang melibatkan pakar yang mewakili Islam, agama lain yang ada di Malaysia serta barat untuk lebih memahami isu itu melalui perbincangan.
Anwar berkata, walaupun Islamofobia amat nyata dan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menangani isu itu, dunia Islam juga perlu mengatasi prasangkanya dan terus melibatkan diri dengan barat.
Mengenai Malaysia, Perdana Menteri berkata, walaupun negara tidak menghadapi isu kumpulan pengganas hasil kerja keras berterusan pasukan keselamatan, ia perlu berhati-hati dengan isu penyebar keganasan.
"Kita ada masalah itu, dalam kalangan penyebar keganasan. Mereka menganggap orang yang tidak bersetuju dengan mereka sebagai kafir, dan pasti masuk neraka. Inilah yang saya anggap sebagai penyebar (keganasan).
"Kita perlu kuat dan menjadi muslim yang komited kalau tidak golongan Islamofobia akan mengambil alih negara. Penyebar keganasan juga merupakan satu isu yang perlu diambil perhatian jika tidak, ia akan terlambat,” kata beliau.
Perdana Menteri juga menggesa jentera dan agensi kerajaan supaya menggunakan persefahaman dan rasa hormat dalam menangani perbezaan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang bersatu padu, berbilang kaum dan berbilang budaya.
Forum anjuran Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) dengan kerjasama Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Forum itu diadakan untuk menangani isu Islamofobia dalam semangat Malaysia MADANI berikutan tindakan membakar al-Quran secara terbuka baru-baru ini oleh pelampau di Sweden serta insiden lain di seluruh dunia. - Bernama