SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong dasar-dasar kerajaan yang memberi manfaat kepada golongan pekerja dan majikan untuk jangka masa panjang.
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya tidak ada sebarang masalah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkaitan pengurangan waktu bekerja yang daripada 48 jam kepada 45 jam.
"Kami tidak ada isu (berhubung perkara tersebut). Pihak kami menyokong dasar kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada pekerja dan majikan dalam jangka masa panjang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada 23 Februari lalu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor mendedahkan terdapat laporan majikan tidak mempedulikan pindaan Akta Kerja 1955 termasuk dalam soal pengurangan waktu bekerja dari 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.
Menurutnya, terdapat syarikat yang memaklumkan kepada pekerja bahawa mereka tidak boleh mengurangkan waktu kerja kerana belum mendapat arahan bertulis daripada Jabatan Tenaga Kerja.
Pada Ahad, Sivakumar berkata, majikan tidak sewajarnya memberikan alasan untuk ingkar melaksanakan pindaan akta berkenaan termasuk pengurangan masa kerja dari 48 jam kepada 45 jam seminggu.
Ulasnya, perkara itu sudah pun diuar-uarkan sebelum ini menerusi media selepas sahaja pindaan tersebut diluluskan di Parlimen.
Jelasnya, tidak ada alasan untuk majikan mengabaikan peruntukan undang-undang tersebut memandangkan tempoh masa pelaksanaan sudah diberikan.