DATUK Awalan Abdul Aziz yang menggalas tanggungjawab selaku Presiden Persekutuan Boling Padang Asia berikrar memastikan sukan tersebut setaraf dengan sukan lain di negara dan benua ini.
Justeru, beliau yang juga Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) berkata, akan bekerjasama dengan negara tetangga selain menjanjikan taraf pengurusan berbeza dalam misi pemantapan sukan boling padang.
Iklan
Iklan
"Saya menganggap ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab selain kejayaan kepada negara kerana diiktiraf pencapaiannya dalam membangunkan sukan ini.
"Bukan itu sahaja, barangkali badan induk Asia ini turut memperakui segala tindak tanduk kita termasuk peranan persatuan itu sendiri termasuk komitmen kerajaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Kejohanan Boling Padang Asia ke-14 dan Bawah 25 tahun Asia 2023 di Ipoh pada malam Ahad.
Awalan memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding semasa pemilihan yang berlangsung pada Mesyuarat Lembaga Persekutuan Lawn Bowls Asia ke-15, di Meru Raya Sabtu lepas.
Menurut beliau, fokus utamanya adalah untuk memastikan promosi tentang sukan tersebut sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
"Paling penting adalah program pembangunan sukan boling padang itu sendiri untuk mencari pelapis-pelapis masa depan sukan ini kerana tidak semua tempat dalam negara mempunyai fasiliti sukan ini. - Bernama