Inisiatif ‘waste-to-wealth’ sumber kekayaan baharu - NRECC

Iklan
Nik Nazmi (dua dari kiri) melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Indah Water Konsortium Sdn Bhd, pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan memulakan inisiatif ‘waste-to-wealth’ yang menghasilkan biopepejal dan bioefluen daripada hasil rawatan kumbahan, sekali gus boleh menjadi sumber kekayaan baharu negara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, inisiatif itu akan diusahakan secara komersial oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan air dan pembetungan negara itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Keenam untuk memastikan akses air bersih untuk semua.

"Projek rintis penyelidikan dan pembangunan semula bi-produk pembetungan seperti yang dilakukan JPP dan IWK hari ini, mempunyai potensi untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak dua peratus setahun.

Iklan

"Walaupun peratusannya kelihatan kecil, namun itu satu titik permulaan yang sangat baik,” katanya sewaktu lawatan kerja ke Loji Perintis Memproses Biopepejal Kepada Baja Pelet di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Titiwangsa di sini, pada Isnin.

Nik Nazmi (tiga dari kiri) mengadakan lawatan kerja di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Titiwangsa, pada Isnin.

Beliau berharap, penggunaan bi-produk pembetungan seperti itu dapat diperluaskan dalam menyokong ekonomi kitaran.

Iklan

"Komitmen ini juga selaras dengan hasrat kerajaan bagi merealisasikan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 untuk meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi, menjana kekayaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

"Pencapaian dan penghasilan produk inovasi yang dihasilkan ini bukan hanya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar tetapi mampu menjana penjanaan ekonomi daripada sektor air dan pembetungan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak mampu mempercepatkan sasaran mengurangkan pelepasan karbon negara.

"Walaupun Malaysia hanya menyumbang sebanyak 0.69 peratus kepada pelepasan karbon global, namun kerajaan tetap komited untuk merealisasikan aspirasi pelepasan gas rumah kaca sifar bersih selain mengimbangi keperluan sosioekonomi negara.

"Penglibatan aktif agensi awam dan swasta adalah perlu dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama dalam usaha penggunaan semula bi-produk pembetungan,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara itu perlu dilakukan supaya dapat memartabatkan pembangunan inovasi sektor air dan pembetungan di Malaysia selain memberi kesan positif kepada alam sekitar, ekonomi dan memanfaatkan komuniti setempat.

Nik Nazmi (dua dari kiri) melawat Tapak Mesin Penghasilan Palet Bio-Pepejal, pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Reka Bentuk JPP, Ir Huzaini Husain berkata, lawatan kerja itu bertujuan untuk menghebahkan kepada pelbagai pihak tentang potensi inovasi khususnya di dalam sektor pembetungan negara.

Menurutnya, ia dilaksanakan untuk menyokong Pelan Induk Teknologi Hijau ke arah pelupusan sifar biopepejal menjelang tahun 2030.

"Pembinaan dan penyiapan loji perintis ini dijangka dapat menghasilkan sebanyak lima tan metrik baja organik dalam bentuk serbuk dan pelet bagi kegunaan tanaman landskap dan tanaman bukan makanan.

"Kajian inovasi ini sudah mencapai kemajuan sebanyak 35 peratus, yang mana loji perintis telah siap dibina dan dilengkapi dengan pemasangan peralatan mekanikal dan elektrikal serta diuji saksi oleh JPP dan IWK pada 7 Februari 2023,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan program kesedaran juga telah dimulakan bagi meningkatkan penerimaan pasaran dan penggunaan produk ini.