SHAH ALAM- Isteri kepada pendakwah terkenal, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah iaitu Datin Suziana Mohd Soyong dilaporkan meninggal dunia pada petang Isnin.
Mohd Farid dalam satu perkongsian di Facebook memaklumkan, isterinya menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.40 petang di Hospital Serdang.
"Dukacita dimaklumkan bahawa isteri saya telah kembali kepada penciptanya pada 27 Februari, jam 5.40 petang di Hospital Serdang.
"Perginya insan yang paling mengenali saya dan banyak jasanya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agar orang ramai mendoakan kebaikan dan keampunan buat isterinya.
Jelas Mohd Farid, solat jenazah akan diadakan selepas solat Isyak di Masjid Seri Bandar Seri Putra Bangi.
"Kepada semua yang mengenali isteri, saya mohon doakan kebaikan dan keampunan untuk Almarhumah. Juga mohon dimaafkan salah dan silap. Sekiranya ada berhutang, mohon dihalalkan atau tuntutlah hutang Almarhumah daripada saya.
"Doa saudara dan saudari saya dahului dengan ucapan jazakumullah khairan kathira,” ujarnya.
Dalam pada itu, rakannya yang juga pendakwah dan pensyarah kanan, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, turut mengucapkan takziah di atas pemergian isteri sahabat baiknya itu.
"Isteri kepada sahabat dunia akhirat saya, Profesor Madya Datuk Dr Farid Ravi telah kembali ke rahmatullah.
"Doakan supaya roh Almarhumah ditempatkan bersama orang orang beriman. Semoga Ustaz Farid tabah menghadapi dugaan berat ini,” katanya.