Messi, Putellas terbaik FIFA

Iklan
Messi dan Putellas masing-masing merangkul gelaran pemain lelaki dan wanita terbaik FIFA. Foto EPA.

BINTANG sensasi, Lionel Messi menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai pemain lelaki terbaik FIFA 2022 selepas kejayaan gemilangnya membantu Argentina memenangi Piala Dunia di Qatar tahun lalu.

Alexia Putellas dari Sepanyol pula mengekalkan gelaran pemain terbaik wanita.

Iklan
Iklan

Messi mengenepikan rakan sepasukan di Paris Saint-Germain dan pesaing final Piala Dunia dari Perancis, Kylian Mbappe dan pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema.

Ia adalah kali kedua pemain berusia 36 tahun itu merangkul anugerah yang diperkenalkan FIFA pada tahun 2016 selepas badan induk bola sepak dunia itu mengakhiri kerjasama dengan penganjur Ballon d'Or, France Football.

Iklan

"Musim lalu satu tahun yang cukup gila. Saya mencapai impian yang diperjuangkan selama ini.

"Akhirnya saya berjaya meraihnya dan ia perkara paling indah dalam karier saya," katanya selepas menerima anugerah itu di Paris awal pagi Selasa.

Iklan

Anugerah itu dihakimi oleh kapten dan jurulatih pasukan kebangsaan, wartawan serta peminat.

Messi menyumbat dua gol dalam aksi final di Doha ketika Argentina menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti, biarpun Mbappe meledak hatrik untuk Les Bleus bagi mengikat keputusan 3-3.

Dia turut meraih Bola Emas sebagai pemain terbaik, mengatasi Mbappe yang muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol, satu mengatasi Messi.

"Ia adalah impian setiap pemain bola sepak tetapi hanya sedikit yang mampu merealisasikannya," ujar Messi.

Dalam pada itu, Putellas mengekalkan anugerah untuk kategori wanita walaupun tidak beraksi sepenuhnya musim lalu akibat kecederaan.

Kejayaan Argentina di Piala Dunia Qatar turut menobatkan Lionel Scaloni sebagai jurulatih terbaik pasukan lelaki.

Pemain kontroversi Argentina, Emiliano Martinez pula memenangi anugerah penjaga gol lelaki terbaik.

Pengendali skuad wanita England yang memenangi Kejuaraan Eropah, Sarina Wiegman dari Belanda meraih anugerah jurulatih terbaik wanita, manakala Mary Earps dinobatkan penjagol gol wanita terbaik.

Pemain Poland, Marcin Oleksy yang kudung sebelah kaki, mengungguli Anugerah Puskas untuk gol terbaik sepanjang tahun lalu.