KUALA LUMPUR - Model Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam mengatasi isu rakyat khususnya peneroka daripada kemiskinan mendapat perhatian Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin).
Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata, model Felda itu telah membuktikan bahawa ia telah berjaya membantu 112,638 keluarga peneroka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Jelasnya, ia sebagai menunjukkan kesediaan Felda berkongsi pengalaman sepanjang hampir 67 tahun penubuhan untuk membantu negara-negara ASEAN bagi melaksanakan model berkenaan.
"Kunjungan hari ini (semalam) bertajuk 'Felda untuk ASEAN', bagaimana contoh model Felda boleh digunakan untuk negara ASEAN bagi mengatasi isu kemiskinan.
"Terima kasih kepada Pengerusi ASEAN BAC, Arsjad Rasjid.
Dijangkakan ini akan menjadi satu model yang bakal diketengahkan bagi mengatasi isu kemiskinan di negara ASEAN.
"Kita lihat juga ini peluang kolaborasi antara Felda dan Indonesia (Kadin) dalam bentuk keselamatan makanan kerana ia menjadi isu besar masa kini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Kunjung Hormat Kadin, di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, di sini, pada Isnin.
Turun padang
Tambah Idris, pihaknya bersama Kadin akan turun padang bagi memastikan pelaksanaan model itu selaras dengan perancangan dalam membasmi kemiskinan termasuk keselamatan makanan.
Justeru, katanya, mereka juga akan lebih menekankan perancangan untuk ASEAN.
"Jadi, perjumpaan ini berjalan lancar dan satu jawatankuasa akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Dua Hala Kadin- Malaysia, Eko Putro Sandjojo dan juga Timbalan Pengarah Besar (Operasi) Felda, Izham Mustaffa untuk memastikan apakah tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan selepas ini," ujarnya.
Jelasnya, inisiatif itu bukan calang-calang kerana ia dapat membantu lebih 100,000 keluarga peneroka dan pihak mereka mahu inspirasi Felda itu dapat diadaptasi kepada Indonesia dan negara ASEAN yang lain.
"Kadin berterima kasih kepada Felda sudi menerima kunjungan kami. Hari ini (semalam) banyak yang dapat dipelajari (khususnya) bagaimana Felda menjalankan operasi di Malaysia.
"Indonesia termasuk negara ASEAN lain dapat mengambil inspirasi kejayaan Felda ini.
"Pada tahun ini, Indonesia juga menjadi Pengerusi ASEAN 2023 maka harapan Pengerusi ASEAN BAC dapat menularkan model Felda ini ke negara ASEAN lain, selain menumpukan mengenai (inisiatif) mengatasi isu kemiskinan dan keselamatan makanan dunia," katanya.
Jelasnya, pihak mereka kini lebih menumpukan kepada ASEAN BAC, khususnya melaksanakan perancangan berkaitan keselamatan makanan untuk negara ASEAN termasuk dunia.
"Tiada perancangan, cuma pada asasnya untuk persiapan ASEAN BAC, serta mengenai pengeluaran makanan kerana kita ada tanah dan aset yang mencukupi.
"Kita rangkakan program yang perlu dilaksanakan dalam ASEAN BAC ini bagi memastikan keselamatan makanan itu terjamin di negara-negara ASEAN," ujarnya.