IPOH - Pemilihan UMNO di beberapa bahagian di Perak memperlihatkan saingan menarik apabila beberapa bekas ketua pemuda UMNO bahagian menawarkan diri bertanding merebut jawatan ketua UMNO bahagian.
Antara bahagian yang memperlihatkan kemaraan anak muda termasuklah di Tambun, Bukit Gantang dan Ipoh Barat.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun penggal lalu, Faridzul Azlan Abd Shani yang menawarkan diri bertanding ketua UMNO bahagian berkata, keputusan itu dibuat pada saat akhir selepas tidak ada mana-mana pemimpin lain yang menawarkan diri merebut jawatan tersebut.
Menurutnya, pertandingan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tambun menyaksikan pertembungan dua penjuru dengan penyandang sedia ada, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.
"Saya tawarkan diri bertanding selepas tidak ada yang menawarkan diri untuk lawan. UMNO perlukan nafas baharu selepas prestasi buruk pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu.
"Jadi perubahan di peringkat bahagian perlu dilakukan agar episod kegagalan pada PRU16 akan datang tidak berulang. Kehadiran pemimpin muda menerajui bahagian penting dalam usaha menarik semula sokongan golongan muda terhadap UMNO," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie turut mengumumkan bertanding bagi jawatan ketua UMNO bahagian berkenaan.
Difahamkan bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Gantang pada PRU15 itu akan berdepan pertandingan tiga penjuru di antara Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Mohd Kamaruddin Abu Bakar dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Datuk Rosli Husin yang membuat kemunculan semula.
Menerusi satu rakam video dimuat naik dalam Facebooknya, Mohammad Sollehin berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu bersama-sama membantu UMNO melakukan proses reformasi dan transformasi dalam urus tadbir parti.
"Pemilihan kali ini akan menjadi satu anjakan besar kepada hala tuju parti dalam tempoh lima tahun akan datang. Saya yakin setiap perwakilan akan membuat pertimbangan sewajarnya agar UMNO Bahagian Bukit Gantang akan terus kekal relevan.
"Tekad saya untuk memastikan kepimpinan baharu yang akan dibentuk nanti subur dengan nilai kesetiaan kepada parti dan ikhlas dalam perjuangan ditambah dengan penyusunan gerak kerja sistematik yang berorientasikan semangat berpasukan, sudah tentu ia akan menjelmakan kesan positif kepada UMNO bahagian Bukit Gantang," katanya.
Dalam pada itu, UMNO Bahagian Ipoh Barat juga menyaksikan pertembungan di antara pemimpin veteran dan pemimpin baharu apabila penyandang ketua bahagian, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar akan ditentang bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi.
Syamsul Baharin Putra berkata, keputusan yang dilakukan itu bukanlah bererti menafikan kemampuan ketua UMNO bahagian sedia ada sebaliknya mahu membantu parti membawa imej orang muda.
Jelasnya, sudah sampai masanya persepsi bahawa UMNO tidak memberi peluang orang muda itu dihapuskan dengan kehadiran pemimpin muda memimpin di peringkat bahagian.