KUMPULAN KK Group of Companies menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas kepada mangsa gempa bumi yang terjejas di Syria.
Antaranya lampin bayi, tuala wanita, makanan kering, sarung tangan perubatan dan barang-barang yang diperlukan.
Pengerusi eksekutif kumpulannya, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, kehadiran beliau bersama-sama bekas Duta Palestin di Malaysia, Tan Sri Ahmad Al Farra ke kedutaan Syria di Malaysia adalah untuk menyampaikan simpati kepada mangsa yang terjejas.
"Selepas perbualan bersama duta besar Syria, jelas bahawa gempa bumi baru-baru ini telah menyebabkan kerosakan yang teruk kepada negara ini.
"Ia juga mengakibatkan peningkatan kadar kematian dan kecederaan kepada warganegara mereka dan saiz kemusnahan ini amat dahsyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, beliau berharap orang ramai dapat menunjukkan semangat belas kasihan dan memberikan sokongan kepada negara-negara yang terjejas.
"Kami gembira melihat pelbagai unit dan organisasi di Malaysia termasuk keluarga diraja, kakitangan kerajaan dan sektor swasta seperti Dewan Perdagangan dan Industri China Malaysia sukarela menghulurkan bantuan.
"Mereka telah menunjukkan semangat cinta yang besar dan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia peduli dengan komuniti antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Menteri Penasihat Kedutaan Arab Syria di Malaysia, Mhd Ghiath Ibrahim menghargai bantuan yang ditawarkan oleh Malaysia untuk membantu usaha pemulihan gempa bumi.
Jelas beliau, Kerajaan Malaysia dan rakyat bertindak dengan pantas untuk memperluaskan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
"Bantuan yang diberi turut termasuk dengan menghantar pasukan carian dan penyelamat ke kawasan yang terjejas serta sumbangan awam dana bantuan dan bekalan,” katanya.
Jelas beliau, infrastruktur yang kurang dibangunkan di kawasan bencana Syria telah memburukkan lagi keadaan.
"Gempa bumi telah memberi kesan yang teruk kepada Syria dan berlakunya kekurangan bekalan.
"Selain itu, infrastruktur komunikasi tempatan yang kurang dibangunkan telah menyukarkan untuk menganggarkan bilangan mangsa,” jelasnya.
Tambahnya, infrastruktur pengangkutan ke kawasan-kawasan yang terjejas di Syria kurang dibangunkan yang telah mewujudkan had ketara dan memperlahankan operasi menyelamat.
"Saya berharap bantuan dari negara-negara lain akan tiba dengan segera untuk usaha pemulihan,” ujarnya.
Kedutaan berkenaan turut memaklumkan bahawa mereka telah melancarkan kempen pengambilan dana kecemasan dan menggalakkan orang untuk membuat sumbangan tunai melalui akaun rasminya.