[VIDEO] Bekas penjawat awam didakwa guna dokumen palsu

Iklan
Muhammad Farhan ( depan) mengaku tidak berslaah atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa..

JOHOR BAHRU - Seorang bekas penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen antara 2017 hingga 2019.

Muhammad Farhan Salleh, 37, yang juga bekas kerani Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan tiga set dokumen Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atas nama tiga syarikat, iaitu FNL Trading, Neosoft Technology Trading dan Ideal Ventures Enterprises, yang dipalsukan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ismail, Sayap Selatan Kota Iskandar, di Iskandar Puteri antara Januari 2017, Februari 2018 dan Januari 2019.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Iklan

Sebelum itu, Choon Yew memohon jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Namun, Mohd Fazaly memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 disebabkan anak guamnya kini bekerja sebagai peniaga selepas berhenti bekerja dalam perkhidmatan awam sejak 2020.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan kes akan disebut semula bagi serahan dokumen pada 16 Mac.