Tikam pesakit di Hospital Selayang selepas terdengar 'bisikan'

Iklan
Mohd Khairul (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk menghadapi pertuduhan menikam seorang pesakit di Hospital Selayang, dua minggu lalu.

SELAYANG - Seorang pesakit psikiatri memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, bahawa dia berhalusinasi dan terdengar bisikan ketika menikam seorang pesakit di Hospital Selayang, dua minggu lalu.

Mohd Khairul Kamul, 22, berkata demikian selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Iklan
Iklan

Dia yang dibawa ke mahkamah dengan memakai baju hospital berwarna hijau, mengangguk tanda faham namun tidak menyatakan sebarang pengakuan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa, V Sathish Rao, 29, dengan menggunakan pisau pada 14 Februari lalu.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan di zon kuning bahagian kecemasan di Hospital Selayang sekitar jam 3.45 petang.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon agar tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri.

"Sebelum ini, dia telah menerima rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Selayang, sejak 15 Februari lalu.

"Kami mencadangkan dia dihantar untuk pemeriksaan kerana keadaan mentalnya dipercayai tidak stabil," katanya.

Mendengar perkara itu, Nor Rajiah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak dan dia tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 29 Mac depan untuk sebutan semula kes dan laporan psikiatri tertuduh.

Pada 15 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, pihak polis telah membuka kertas siasatan berkaitan tersebut.

Menurut pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, saksi kejadian mendakwa seorang suspek telah menikam mangsa di bahagian pinggang, menggunakan pisau.