12 bangunan kerajaan di Perak tiada FC

Iklan
Azmi menyaksikan serah terima tugas sebagai Timbalan Pengarah JBPM Perak antara Jamri Masran (kanan) dengan Mohd Zaki Osman.

IPOH - Sebanyak 12 bangunan kerajaan di Perak dikesan tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC), kata Pengarah Bomba negeri, Azmi Osman.

Beliau berkata, daripada pemeriksaan dilakukan, hanya lapan daripada keseluruhan 20 bangunan ditetapkan memiliki perakuan sah bebas daripada bahaya kebakaran itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegagalan mengemukakan pelan bangunan disebabkan premis yang sudah lama mencecah 20 ke 30 tahun menjadi antara faktor perakuan sijil berkenaan tidak diperolehi.

"Tiga daripada 12 pemilik premis yang tidak memiliki FC itu telah pun dibawa untuk tindakan mahkamah.

Iklan

"Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana bangunan kerajaan sepatutnya menjadi contoh.

"Jika tidak memiliki FC Sudah pasti aset milik kerajaan berdepan risiko dan kehilangan fail penting terutama apabila berlaku kebakaran," katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengurusan Tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, JBPM Perak turut mengenal pasti 107 premis atau hampir 35 peratus daripada keseluruhan bangunan di negeri ini tidak memperbaharui FC.

Katanya, tindakan awal telah dilakukan antaranya mengeluarkan notis dan arahan serta memberikan tempoh penyediaan dokumen diperlukan untuk dihantar ke pihak bomba.

"Selepas tempoh diberikan, kita akan buka kertas siasatan untuk kes dihantar ke timbalan pendakwa raya bagi analisa dan tindakan selanjutnya.

"Mengikut statistik terkini, sudah ada 15 kes dalam perhatian pihak pendakwaan," katanya.

Majlis sama menyaksikan serah terima tugas bagi jawatan Timbalan Pengarah JBPM Perak antara Mohd Zaki Omar yang akan bertukar ke Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah di Kuala Kubu Bharu dengan Jamri Masran.

Turut bertukar Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Syed Azman Syed Ghazali sebagai Ketua Unit Integriti Ibu Pejabat JBPM dengan tempat beliau digantikan Sabarodzi Nor Ahmad.