Trio 'otai' dapat panggilan PSM

Iklan
Syahir (tengah) dan Adam (kanan) antara 25 pemain yang disenarai pendek bagi mengikuti Program Sukan SEA 2023.

TRIO berpengalaman - Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Farhan Adam antara 25 pemain sepak takraw yang disenarai pendek bagi mengikuti Program Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Persatuan SepakTakraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, barisan 25 pemain itu dipilih selepas sesi pemilihan dan ujian kecergasan pada 24 hingga 26 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, 25 pemain yang terpilih itu akan dipanggil untuk menjalani kem latihan pusat bermula 1 Mac ini sebelum PSM memutuskan senarai akhir 12 pemain yang akan beraksi pada Sukan SEA 2023 pada Mei depan.

"Selepas kami mengadakan perbincangan dari sudut kecergasan pemain pada latihan TID (program pencarian bakat), maka kami telah membuat keputusan seramai 25 pemain terpilih ini akan dibawa ke Sukan SEA Kemboja.

Iklan

"Mereka akan menjalani latihan intensif dan mungkin ada pertandingan yang dicadangkan pihak jurulatih serta latihan di luar negeri jika perlu.

"Senarai nama (12 pemain) itu kami akan umum selewat-lewatnya pada April, bergantung kepada saingan antara mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Isnin.

Iklan

Pada masa sama, Halim turut mengumumkan sasaran baharu PSM di Kemboja nanti dengan menjadikan acara double sebagai taruhan untuk menghadiahkan kilauan emas buat skuad sepak takraw negara.

"Sasaran itu (satu pingat emas Sukan SEA 2023) realistik berdasarkan kemelut yang melanda persatuan sebelum ini. Tetapi PSM akan cuba berusaha untuk meraih lebih daripada apa yang ditetapkan,” jelasnya.

Pada temasya Sukan SEA Hanoi tahun lalu, skuad sepak takraw negara gagal menjelmakan sebarang kilauan emas apabila sekadar meraih tiga perak dan satu gangsa.