'RoS sepatutnya tangguh pemilihan UMNO' - Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri

BERA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sepatutnya menangguhkan proses pemilihan UMNO sehingga satu keputusan diperoleh bagi permohonan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan didakwa melanggar perlembagaan.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan menjadi konflik jika RoS mendapati usul yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 itu bertentangan dengan perlembagaan dan dua jawatan tertinggi parti itu mesti dipertandingkan dalam pemilihan parti.

Iklan
Iklan

"Ada yang sudah bertanding jawatan Naib Presiden sekarang ni mungkin nak bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden. Tapi dia dah hantar nama untuk Naib Presiden.

"Jadi, saya percaya kalau RoS nak buat keputusan, sepatutnya menangguhkan pemilihan sehingga RoS membuat keputusan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Latihan Amal Bera Inter-Agensi dan Komuniti 2023 yang diadakan di Bera Waterfront pada Selasa.

Tambah bekas Perdana Menteri itu lagi,di dalam Akta Pertubuhan, ada satu klausa mengatakan RoS berkuasa untuk menangguhkan setiap pemilihan.

Iklan

"Jadi dia (RoS) patut gunakan klausa itu bahawa sehingga keputusan dibuat, semua pemilihan ditangguhkan," ujarnya.

Pada 15 Februari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa peraturan mesyuarat dan Perlembagaan UMNO telah diikuti sepenuhnya iaitu terdapat klausa 9.3 dan 9.4 dalam Perlembagaan UMNO yang telah dijelaskan kepada RoS.

Ujar Ahmad Zahid, Perhimpunan Agung UMNO merupakan badan tertinggi UMNO, maka keputusan untuk menambah usul yang telah dibentangkan itu telah diteliti oleh pihak RoS dan juga oleh kumpulan peguam parti selain Setiausaha Agung UMNO.