'Fatwa politik' keterlaluan, Sanusi digesa letak jawatan MB

Iklan
Mahfuz (kanan) pada sidang akhbar di Wisma Amanah Kedah pada Selasa.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa melepaskan jawatan kerana didakwa sering mengeluarkan kenyataan jelek termasuk fatwa politik berunsurkan agama yang menimbulkan kegusaran ramai pihak.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Muhammad Sanusi termasuk beberapa pemimpin Pas lain yang berulang kali mengeluarkan kenyataan melampaui tatasusila masyarakat adalah sangat tidak wajar.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, pihak berkuasa agama termasuk agensi berkaitan diminta memantau perkara tersebut kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk.

"Saya percaya ramai yang dukacita dengan kenyataan dibuat Muhammad Sanusi. Kenyataan seumpama tidak seharusnya diucapkan oleh seorang ketua kerajaan negeri.

Iklan

"Sudahlah dilakukan berulang kali, dibimbangi boleh cetuskan kegelisahan dan jejas hubungan masyarakat berbilang kaum atau masyarakat Islam,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Iklan

Terbaharu, tular rakaman video kenyataan Muhammad Sanusi yang mengatakan, orang Barisan Nasional (BN) pergi Makkah melontar jamrah (lambang lontar syaitan) tetapi selepas balik berkawan dengan syaitan.

Kenyataan tersebut dipercayai diucapkan Muhammad Sanusi dalam sebuah program yang kemudian dimuat naik dalam laman Tik Tok.

Mahfuz menempelak sikap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu yang seakan menjadikan isu agama sebagai bahan lawak jenaka.

"Perkara ini tidak wajar berlaku dan tidak boleh dijadikan mainan untuk jenaka, saya tidak nampak ia sebagai lawak. Saya kesal fatwa-fatwa politik berunsurkan keagamaan terus dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Pas.

"Sebelum ini fatwa politik Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) mengatakan, berdosa kepada orang yang pergi umrah tidak membuang undi. Ini fatwa yang sesat. Sepatutnya diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama kerana perkara sama masih berulang,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan satu tindakan yang boleh mengheret kepada pertembungan kalangan masyarakat Islam atau masyarakat bukan Islam.

"Tidak wajarlah untuk kita berpolitik hingga kepada peringkat menghukum seseorang dari segi akidah mereka atau keagamaan. Sebelum ini pemimpin Pas buat hukuman sendiri yang mana kononnya mengundi Pakatan Harapan (PH) dan BN masuk neraka. Ini perbuatan tidak wajar, saya kesal sehingga sekarang tidak nampak pihak berkuasa agama tegas ambil tindakan terhadap fatwa-fatwa sebegini,” ujarnya.

Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah berkata, fatwa-fatwa politik yang menyentuh isu agama yang menimbulkan keresahan amat berbahaya kerana dibimbangi menghidupkan kembali budaya takfiri.

"Sebab itu tindakan tegas perlu diambil termasuk oleh polis kerana ia boleh menyebabkan kehidupan menjadi kacau-bilau, jangan tunggu hingga keadaan menjadi lebih buruk.

"Saya harap perkara ini turut diberi perhatian oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Tindakan undang-undang perlu diambil untuk menyekat perkara seumpama berlarutan, bukan sahaja ketika hadapi pilihan raya negeri (PRN) tetapi untuk kesejahteraan masyarakat,” tegasnya.

Menurutnya lagi, perbuatan Muhammad Sanusi turut mencalarkan nama baik Sultan Kedah selaku ketua agama Islam negeri yang berkenan memberikan watikah pelantikan menteri besar.

"Kenyataan berkaitan agama, sudah tentu mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam masyarakat. Selain biadab, ia mencemarkan institusi raja sebagai ketua agama Islam negeri, sebab itu saya sarankan beliau lepaskan jawatan sekiranya mahu berterusan bersikap sedemikian. Kita tak mahu seorang menteri besar yang sering menimbulkan kacau-bilau,” katanya.

Mafhuz berkata, Muhammad Sanusi seharusnya mencontohi sikap Ketua Pemuda Pas Sik sebelum ini yang meletakkan jawatan selepas mengeluarkan fatwa politik bahawa mengundi PH dan BN masuk neraka, setelah mengakui kesilapannya.

"Wajarlah sebagai ketua kerajaan, Muhammad Sanusi buat tindakan sama. Ia bukan perkara remeh, selain mencalarkan nama Sultan Kedah, merosakkan institusi Islam dan menimbulkan kekacauan masyarakat, beliau menghidupkan kembali budaya takfiri atau kafir-mengkafir sesama orang Islam dan akan menimbulkan perpecahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mahfuz berharap tindakan sama dilakukan terhadap resolusi dikeluarkan Muzakarah Ulama Kedah sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, berkaitan ‘Muzakarah Ulama sebulat suara bersetuju bahawa gabungan parti politik yang mesti dipilih oleh pengundi pada PRU15 ini adalah Perikatan Nasional’.

Pada 17 Januari lalu, Amanah Kedah menyerahkan memorandum ke pejabat Mufti Kedah berhubung resolusi berkenaan berikutan muzakarah tersebut turut melibatkan dua Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah.

"Ia bertentangan dengan hak rakyat dalam perlembagaan negara. Dikatakan pengundi Islam mesti undi PN, mesti adalah wajib. Wajib hukum berkaitan agama, kalau tak buat berdosa. Ini sangat berbahaya, apabila institusi agama terlibat dalam fatwa sebegitu. Sebab itu saya minta pihak berkuasa agama tegas dalam soal-soal fatwa yang tidak wajar ini,” katanya.

Menurutnya, hasil pertemuan dengan pejabat mufti, beliau dimaklumkan AJK berkenaan tidak bersama ketika resolusi dibuat dan hanya hadir untuk pembentangan.

"Mereka harus tampil berikan penjelasan bahawa mereka tidak terlibat kerana resolusi tersebut bertentangan dengan perlembagaan negara. Namun tindakan perlu dikenakan terhadap pihak yang mengeluarkan resolusi tersebut sebagai pengajaran, elak berulang,” katanya.