KUALA LUMPUR - Masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes 13 naskhah al-Quran dibuang di dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang di sini, 19 Februari lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan pelaku yang terlibat segera dikesan.
"Siasatan berkaitan kes ini masih lagi dijalankan, elak membuat sebarang spekulasi kerana polis akan pastikan individu bertanggungjawab akan diambil tindakan sewajarnya.
"Masyarakat dinasihatkan agar tidak gusar kerana polis bersama agensi pihak berkuasa lain akan memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini sentiasa terpelihara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pihak yang ingin melupuskan al-Quran perlu mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa agama.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu pihak polis dengan tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Sebelum ini lapan individu diambil keterangan berhubung kejadian terbabit.
Pada Ahad, media melaporkan polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 52 tahun.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, sebuah klip video mengenai penemuan tersebut tular di platform media sosial Tik Tok.
Pengadu sedang beriadah bersama suaminya ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan di tasik itu.
Hasil pemerhatian pengadu mendapati beberapa naskhah al-Quran dalam keadaan terbuka dan terkeluar dari beg berkenaan.