Selaraskan formula agihan kerusi PH-BN berdepan PRN - Mahfuz

Iklan
Mahfuz (kanan) pada sidang akhbar di Wisma Amanah Kedah pada Selasa.

ALOR SETAR – Formula agihan kerusi melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kemungkinan akan diselaraskan dalam pertemuan Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 19 Mac ini.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, PH Kedah akan menunggu format pengagihan kerusi tersebut sebelum meneruskan rundingan secara rasmi bersama BN Kedah bagi melancarkan proses rundingan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun beberapa perbincangan tidak rasmi telah diadakan bersama BN, namun setiap parti turut tertakluk pada arahan parti masing-masing dan penyelesaian terbaik adalah menunggu kata putus daripada peringkat Pusat.

"Kita mahu tunggu pertemuan 19 Mac ini, untuk dapatkan apakah bentuk format yang digariskan oleh sekretariat peringkat nasional supaya mudah untuk tentukan pengagihan kerusi yang akan dibuat. Apa yang diputuskan nanti kita laksanakan di peringkat negeri supaya proses agihan boleh dibuat seperti yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Amanah Kedah, pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah berkata, asas pembahagian yang dicapai sebelum ini dalam Kerajaan Perpaduan ialah dengan merujuk kepada kerusi yang dimenangi mana-mana parti akan terus menjadi hak mereka untuk bertanding.

Iklan

"Amalan pembahagian ini sudah biasa diamalkan dalam PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, namun situasinya mungkin berbeza apabila melibatkan BN yang kini merupakan rakan kerjasama kita.

"Kerusi dimenangi BN akan terus dipertahankan mereka, kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika bersama PH akan kekal milik PH seperti diumum Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan menang atas tiket PH,” ujarnya.

Menurutnya, penyelesaian muktamad dipercayai dapat dicapai pada 19 Mac untuk merangka formula bersesuaian.

"Secara dasarnya buat masa ini, itulah pendiriannya dan saya percaya mungkin akan ada sedikit kelonggaran,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz yakin pemilihan UMNO yang akan diadakan akan mengukuhkan lagi jentera pilihan raya bersama antara PH dan BN untuk berdepan PRN.

"Ahli-ahli UMNO sendiri sudah pasti mahu pastikan supaya Kerajaan Perpaduan terus kukuh. Mereka kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang mesti sama-sama kita perkukuhkan. Saya tak nampak pemilihan itu akan beri kesan negatif sebaliknya kesan yang lebih positif untuk pilihan raya di negeri ini,” ujarnya.