Detik menyayat hati, keluarkan mayat ibu anak berpelukan

Iklan
Pengarah Bomba Perak, Azmi Osman (tengah) menyempurnakan pemakaian tanda pangkat kepada Shahrul Nizam sempena Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengurusan Tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak di sini pada Selasa.

IPOH - Mengeluarkan mayat tiga sekeluarga yang berpelukan di bawah runtuhan bangunan kediaman dalam tragedi Turkiye menjadi detik menyayat hati tidak dapat dilupakan anggota bomba, Shahrul Nizam Murad, 47.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping itu antara 140 anggota yang menyertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye awal bulan lalu.

Iklan
Iklan

Shahrul Nizam yang telah berkhidmat selama 27 tahun dalam pasukan bomba berkata, tiga mayat berkenaan iaitu seorang wanita bersama dua anaknya ditemukan pada hari keempat SAR.

"Pada awalnya kami nampak bahagian belakang satu mayat, tetapi apabila proses mengeluarkannya dilakukan, di bawahnya seorang wanita yang sedang memeluk mangsa dan disebelahnya pula anak lelaki yang memegang kuat tangan ibunya.

Iklan

"Mengalir air mata saya apabila membantu mengeluarkan mayat mereka satu per satu. Membayangkan seorang ibu yang berusaha melindungi anaknya, memeluk dan memegang erat tangan mereka ketika runtuhan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita sempena Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengurusan Tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak di sini pada Selasa.

Bapa kepada lima anak itu berkata, meskipun bayangan kejadian itu terus bermain di fikiran, dia perlu menguatkan semangat dan memastikan tidak terbawa-bawa ketika menjalankan tugas menyelamat.

Iklan

Katanya, ini adalah operasi menyelamat kedua ke luar negara dapat disertai selepas Op Jerebu di Indonesia pada 1997 lalu.

"Saya berada dalam Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG), membolehkan saya ditempatkan dalam misi bencana di luar negara.

Shahrul Nizam yang baru pulang ke tanah air pada Isnin mengakui, cuaca sejuk dan dingin terutama pada waktu malam menjadi cabaran paling getir terpaksa dilalui anggota SAR.

Keadaan itu menyebabkannya mengalami luka beku dan mendapat gigitan fros (frosbite) di kedua-dua belah tangan.

"Pada waktu malam suhu jatuh negatif, dengan kawasan berbukit untuk bertahan pada waktu malam agak teruklah sedikit.

"Dalam pasukan kita ada pegawai perubatan yang beri rawatan sekiranya mengalami sebarang kecederaan," katanya.