SHAH ALAM - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kepimpinan tertinggi kerajaan Pakatan Harapan (PH)-BN menggunakan institusi kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, ia kerana hanya pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan berhubung program Jana Wibawa.
Katanya, program itu diteruskan ketika kerajaan Persekutuan diketuai oleh BN (merujuk kepada pentadbiran Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
"Malah banyak kelulusan projek diberikan ketika BN mengetuai kerajaan. Kenapa hanya pemimpin Bersatu yang menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan sedangkan pemimpin BN dikecualikan?
''Ini jelas menunjukkan terdapat cubaan di peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan PH-BN menggunakan institusi kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih dalam siri buruan politik mereka yang gopoh dan tidak cermat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada Isnin bahawa BN telah menghantar surat tuntutan kepada pemimpin Bersatu, iaitu presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Azmin yang ahli majlis pimpinan tertingginya (MPT).
Surat itu berhubung kenyataan mereka yang mendakwa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi dalang di sebalik pertuduhan rasuah ke atas bekas ketua penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, surat itu bagi menuntut Muhyiddin dan Azmin membuat permohonan maaf terbuka, menarik balik kenyataan dan membayar pampasan atas dakwaan yang dibuat.
Dakwa Azmin, surat tuntutan tersebut menunjukkan bahawa BN kini menggunakan kedudukan mereka untuk menakut-nakutkan pihak pembangkang dengan tindakan pendakwaan jenayah dan tindakan undang-undang.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa, siri pendakwaan dibuat hanya untuk tujuan pembunuhan karakter pemimpin Bersatu dan PN menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang tanpa mengambil kira sama ada pertuduhan tersebut mempunyai asas yang kukuh atau tidak
''Inilah konspirasi jahat kerajaan PH-BN untuk menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin tidak popular di mata rakyat seperti mana yang ditunjukkan dalam kajian sentimen awam yang terbaharu.
"Menurut kajian yang dilakukan oleh firma 02 Malaysia dengan kerjasama lima media arus perdana, tidak ada seorang pun menteri kerajaan PH-BN, termasuk Perdana Menteri, yang mendapat skor kepuasan hati rakyat melebihi 50 peratus," ujarnya.
Kata beliau, rakyat juga memberikan skor yang amat rendah terhadap keupayaan kerajaan PH-BN dalam mengurus pertumbuhan ekonomi iaitu 27 peratus, kecukupan bekalan makanan (26 peratus), kebajikan dan kesihatan rakyat (25 peratus), ketahanan ekonomi isi rumah, kemiskinan dan kos sara hidup (21 peratus).
"Ini adalah data-data empirikal yang menunjukkan kerajaan PH-BN mendapat markah gagal daripada rakyat setelah baru 100 hari memerintah.
"Dalam keadaan ini, apakah tidak berasas bagi saya untuk mengatakan bahawa tindakan yang dibuat ke atas Bersatu dan PN adalah satu bentuk penindasan politik?," soal beliau.
Justeru, tegas Azmin, apabila surat tuntutan daripada BN diterima nanti, peguam beliau akan membalas dengan sewajarnya.