IPOH - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis penutup serta penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri yang berlangsung dua hari, bermula semalam di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru di sini malam ini.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzillah Abdul Halim.
Mohd Kamaruzaman Daud muncul johan qari manakala Nurul Syafiqah Nardi pula johan qariah dengan masing-masing meraih hadiah wang tunai RM10,000, replika ukuran cupak Nabi SAW berserta pakej menunaikan haji, hadiah iringan dan sijil.
Naib johan qari dimenangi Mohd Sahran Termizi dan Mohd Ashaari Lemaan di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Norhazira Nabila Mohammad Kamel dan Puteri Kalimatul Azzua Hamid di tempat ketiga.
Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta sijil dan hadiah iringan.
Bagi hafazan pula, Muhammad Adib Ahmad Rozaini muncul johan qari bagi kategori 1-30 juzuk manakala qariah hafazan pula dimenangi adiknya, Aqilah Sulhi Ahmad Rozani dengan dua beradik itu meraih hadiah wang tunai RM10,000, replika ukuran cupak Nabi SAW berserta pakej menunaikan haji, hadiah iringan dan sijil.
Pemenang bakal mewakili Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Arena Butterworth, Pulau Pinang pada Jun depan. - Bernama