SHAH ALAM - Town Hall Rakyat Sinar Harian berupaya menjadi ruang interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya soalan dengan tokoh dan pemimpin di Malaysia.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, berbeza dengan program Wacana Sinar Harian dan Sinar Live, program terbaharu itu akan menampilkan format yang lebih unik.
"Di Sinar Harian kita sentiasa menekankan budaya ‘We Lead’. Kita mahu memimpin atau berada di depan dalam setiap apa yang dilakukan. Kerana itu, kita sentiasa mencari pembaharuan kepada program dan acara di Sinar Harian.
"Selepas sinonim dengan Wacana Sinar Harian, Berani Semuka dan Sinar Live, tahu ini kita mengilhamkan program Town Hall Rakyat Sinar Harian.
"Ia menjadi pentas bukan sahaja untuk moderator bertanya soalan, bahkan yang lebih penting ia menyediakan ruang interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya soalan dengan tokoh dan pemimpin di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Zamri berkata, pembaharuan yang diinisiatifkan oleh akhbar bahasa Melayu nombor satu di Malaysia itu memandangkan sewaktu fasa pandemik Covid-19 sebelum ini sukar untuk mengadakan program-program yang melibatkan orang ramai.
Justeru, ujar beliau, Sinar Harian amat berharap orang ramai akan hadir bersama-sama untuk menjadi tetamu bagi memeriahkan program berkenaan dan bertanyakan soalan kepada tetamu Town Hall Rakyat.
"Mengikut perancangan, program ini akan diadakan dua kali sebulan, yang menampilkan menteri-menteri kabinet dan tokoh-tokoh terkemuka daripada pelbagai bidang.
"Harapan saya sudah tentunya mahu melihat program ini menjadi jambatan baik kepada kerajaan, agensi berkaitan dan tokoh-tokoh bersama rakyat.
"Town Hall Rakyat juga diharap dapat memberi impak yang baik kepada masyarakat Malaysia terutamanya budaya berfikir dan kritikal serta berani untuk melontarkan pendapat,” jelasnya.
Menariknya, Town Hall Rakyat Sinar Harian akan dihoskan oleh pelakon popular yang bakatnya dicungkil menerusi program Kumpulan Karangkraf iaitu Azhar Sulaiman.
"Untuk edisi pertama, kita akan menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang akan disiarkan secara langsung pada 6 Mac ini, jam 8.30 malam.
"Orang ramai dijemput hadir ke Komples Kumpulan Karangkraf di Shah Alam untuk menjadi tetamu khas program ini,” tambah beliau.