Prinsip Rukun Negara semakin dilupakan

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama

RUKUN Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-13.

Menggariskan lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan, Rukun Negara diperkenalkan rentetan asas perpaduan kaum yang dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

Iklan
Iklan

Antara punca membawa kepada peristiwa tersebut sebagaimana terpahat dalam sejarah termasuklah perang mulut, laungan sentimen kaum dan agama sehingga mencetuskan ketegangan. Justeru, teras kelima Rukun Negara secara jelas memberi penekanan terhadap nilai kemanusiaan dengan harapan setiap rakyat Malaysia saling menghormati dan menerima perbezaan masing-masing.

Kesopanan berkisar tentang tingkah laku baik, manakala kesusilaan pula berkaitan akhlak. Kedua-duanya merujuk kepada sifat saling hormatmenghormati bagi membentuk keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Iklan

Sayangnya, semangat konsep itu kini dilihat semakin luntur dan kurang penghayatan dalam kalangan masyarakat. Paling ketara apabila melihat prinsip ini semakin terhakis dalam kalangan warga maya di media sosial. Bahasa yang kurang sopan dan tidak beradab semakin mendominasi hantaran-hantaran komen mahupun status di Whatsapp, Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan YouTube.

Sekiranya terdapat percanggahan pendapat mengenai sesuatu isu, ruang interaksi antara masyarakat tanpa batasan itu dijadikan platform saling mencela dan menghina sewenang-wenangnya yang akhirnya tercetus rasa kebencian dan api permusuhan.

Iklan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyatakan komitmen membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R iaitu Raja, Agama (Religion) dan Kaum (Race). Penegasan terhadap isu itu selari di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.

Namun penguatkuasaan terhadap undang-undang tersebut masih dipandang enteng masyarakat, sehinggakan ada sahaja kes melibatkan kesalahan tersebut dilaporkan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching mendedahkan, pada Januari lalu sahaja, sebanyak 35 kes dalam siasatan MCMC. Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding keseluruhan kes dicatatkan sepanjang tahun lalu iaitu 48 kes.

Berbalik kepada Rukun Negara, sisi lain kesopanan dan kesusilaan juga dapat dilihat dalam pengamalan tingkah laku sama ada pemakaian, pemanduan dan penjagaan kebersihan.

Prinsip ini sekiranya dijiwai dan dihayati berupaya memudarkan sikap sombong, ego serta menunjuk-nunjuk yang semakin menebal kala-ngan masyarakat umum, mendisiplinkan rakyat supaya patuh kepada undang-undang.

Isu seorang wanita yang mendakwa dinafikan hak mendapat rawatan kerana berpakaian tidak sesuai di hospital sehingga tular pada bulan lalu perlu dijadikan iktibar.

Meskipun etika pakaian bukan satu kewajiban bagi individu mendapatkan rawatan di hospital terutama Jabatan Kecemasan, namun berpakaian sedemikian di kawasan ramai juga dikategorikan sebagai tidak sopan, sekali gus melanggar prinsip kelima Rukun Negara.

Menyentuh amalan pemanduan rakyat Malaysia pula, perkara ini menuntut satu penegasan agar tidak berterusan menjadi barah mencetuskan suasana tidak baik kalangan masyarakat.

Sesuatu yang merisaukan apabila setiap kali berlakunya kemalangan jalan raya, ia berakhir dengan pergaduhan, kecederaan, malah sebahagian besarnya meragut nyawa.

Seperti insiden tular tiga lelaki yang bertumbuk di hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di Dungun, Terengganu pada Ahad. Kejadian hanya berpunca akibat rasa tidak puas hati kerana tidak memberi laluan untuk memotong kenderaan.

Kejadian seperti itu akan terus berulang sekiranya tiada prinsip kesopanan dan kesusilaan seperti termaktub dalam Rukun Negara.

Meletakkan nilai yang baik pada tingkah laku, beradab sopan dan mengikut peraturan menjadi amalan yang sentiasa dituntut mengikut falsafah Rukun Negara.

Oleh itu, sudah sampai masanya prinsip Rukun Negara ini ditekankan semula dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mungkin kementerian terlibat ada formulanya.

* Normawati Adnan ialah Wartawan Sinar Harian Perak