BACHOK - Walaupun penanaman tembakau dihentikan sejak 19 tahun lalu dan digantikan dengan penanaman kenaf, sebahagian penanam asal tembakau di Bachok tidak 'menutup buku' dan meneruskannya sehingga ke hari ini.
Daripada 26 penanam tembakau membabitkan kawasan seluas 30 hektar tahun 2014, ia meningkat kepada 92 penanam tahun lepas dengan keluasan 135 hektar.
Dengan pengeluaran kira-kira 99,405 kilogram bernilai RM1.9 juta tahun lepas, tembakau dilihat sebagai projek pertanian paling ekonomik di kawasan tanah beris di Bachok.
Terdapat beberapa pengilang yang membeli daun tembakau penduduk dan menjualnya terus kepada syarikat.
Pengilang di Pantai Damat, Ibrahim Tobbaco mendapatkan bekalan daun tembakau daripada 20 penanam untuk menghasilkan daun kering dan daun proses.
Pengurusnya, Norhasmida Ibrahim berkata, daun tembakau hijau dibeli dengan harga dari RM0.80 sehingga RM1.20 sekilogram.
Katanya, syarikatnya menyediakan pinjaman kepada penanam yang tidak mempunyai modal permulaan.
"Kos setiap 0.46 hektar yang mengandungi 6,000 pokok kira-kira RM1,000, sekurang-kurangnya setiap pokok menjana pulangan RM1.
"Ini bermakna tembakau hijau menjana pendapatan lebih lumayan berbanding tanaman lain," katanya.
Menurut Norhasmida, kilangnya memberi peluang kerja kepada sembilan penduduk untuk kerja-kerja membuang tulang belakang daun, menyusun, menjemur, memesin dan membungkus.
Sementara itu, seorang pengusaha, Jali Mat Nor, 64, berkata, dia menanam 10,000 pokok tembakau virginia yang mana hasilnya dijual kepada syarikat pengeluar produk shisha di Lembah Kelang.
Katanya, dia dibantu beberapa pekerja mengilas dan mengawet daun tembakau sebagaimana yang dilakukannya tahun 70-an lagi.
"Apa yang menjadi masalah sekarang adalah, kos pembajakan, baja dan racun sangat tinggi yang menyebabkan pengusaha kecil berisiko gulung tikar," katanya.
Tambahnya, konsep Penanam Pengawet Individu (PPI) yang diperkenalkan Lembaga Tembakau Negara suatu ketika dahulu wajar dihidupkan semula dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) terus membantu penanam.
"Apabila kerajaan membantu, penduduk kekurangan modal boleh mengusahakannya, penanam memerlukan subsidi dan tidak mahu menjadi mangsa orang tengah.
"Beza menanam tembakau ni dulu ada subsidi, sekarang tiada, tiada bantuan lagi jika tanaman.musnah akibat bencana alam," katanya.