KUALA LUMPUR - Kebakaran melibatkan stor barangan pembinaan mengakibatkan kawasan sekitar bangunan Skypark diselubungi asap dalam kejadian di Jalan Teknokrat 1 di sini pada Selasa.
Bangunan tersebut difahamkan turut menempatkan ibu pejabat syarikat produksi iaitu KRU Group yang terletak di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya mengambil masa hampir tujuh jam bagi memadam kebakaran di lokasi kejadian.
"Panggilan berkaitan kejadian diterima pada jam 3.47 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Dengkil serta Kuala Lumpur dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 3.59 pagi.
"Kepulan asap hitam yang memenuhi sekitar ruangan bangunan tersebut dipercayai berpunca daripada ruangan bawah tanah dan berlaku kebakaran di stor simpanan barang pembinaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, kerja-kerja pemadaman dijalankan melibatkan punca api tersebut dan api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 10.40 pagi.
"Proses pengudaraan dilakukan bagi mengeluarkan asap yang terperangkap dalam bangunan," katanya.