SHAH ALAM - Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun yakin mendapat sokongan akar umbi di seluruh Malaysia untuk memegang kepimpinan Puteri UMNO bagi penggal 2023 hingga 2026.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai itu berkata, beliau menjelajah dan bertemu dengan sebahagian besar kepimpinan puteri di seluruh bahagian dan negeri.
Menurutnya, maklum balas yang diterima begitu positif terutama daripada anak muda, puteri baharu, adik-adik belia dan mahasiswa serta para perwakilan.
Tambah beliau, pelan peremajaan (rejuvenation), pemerkasaan (empowerment), suara (voice) dan perpaduan (unity) atau REVU yang ditawarkan akan menarik anak muda.
"Dalam mendepani arus politik yang sangat dinamik dan mencabar kita perlu terus bergerak ke hadapan dengan apa cara sekali pun demi untuk parti, agama dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 8 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan Masliha menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.
Masliha turut menzahirkan rasa syukur mendapat sokongan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan dan juga Ketua Puteri Negeri, Norbhaiti Sabar yang membantu beliau dalam siri jelajah kempen tersebut.
Pada masa sama, beliau gembira dengan kemenangan anak Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa sebagai Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai yang baharu.