KBS, MFL anjur tayangan skrin besar empat aksi Liga Super

Iklan
Hannah Yeoh - Foto Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneruskan usaha memeriahkan saingan Liga Super 2023 dengan bekerjasama mengadakan tayangan skrin besar melibatkan empat perlawanan bulan ini.

Empat perlawanan itu membabitkan pertembungan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC yang akan ditayangkan di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu malam ini diikuti Kelantan FC bertemu Penang FC pada 5 Mac ini pula ditayangkan di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban.

Iklan
Iklan

Dua lagi perlawanan iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC menentang Negeri Sembilan FC pada 11 Mac ditayangkan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban manakala aksi Kelantan United dan KDA pada 13 Mac di Dataran Starwalk, Majlis Bandaraya Alor Setar.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ini adalah satu daripada program KBS dalam menyemarakkan lagi perlawanan bola sepak dan memupuk semangat kesukanan serta perpaduan komuniti setempat.

Iklan

"Keempat-empat tayangan skrin besar ini diteruskan apabila program ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat setempat semasa perlawanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dan Piala Dunia Hoki 2023 baru-baru ini.

"Berdasarkan data yang kita kumpul untuk program skrin besar, bagi dua tayangan Piala AFF 150,000 rakyat telah keluar untuk menonton. Oleh kerana populariti skrin besar, kita akan berbelanja teruskan program skrin besar,” katanya pada sidang media majlis pengumuman kerjasama itu di Menara KBS di sini, hari ini.

Iklan

Pada masa sama, Hannah memberi bayangan program ini akan diteruskan bagi perlawanan-perlawanan seterusnya selepas menilai sambutan yang diberikan penyokong dalam empat tayangan pertama.

"Saya minta penyokong keluar beramai-ramai kerana bila tak ramai di lokasi tersebut, mungkin kita akan pindahkan ke tempat yang ada lebih banyak penyokong, jadi terpulang kepada penyokong masing-masing untuk menjayakan program skrin besar ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, program berkenaan dapat membantu memeriahkan saingan liga dan kelab yang bertanding dalam saingan liga musim ini.

"MFL seterusnya akan bekerjasama dengan KBS berhubung apa sahaja agenda melibatkan Liga Malaysia musim ini dan berikutnya.” - Bernama