GEORGETOWN - Pengguna dinasihatkan supaya membasuh sayur-sayuran dan beras menggunakan air suam yang dicampur dengan garam atau sabun organik khas agar peratusan racun makhluk perosak yang dikesan dalam kedua-dua jenis makanan itu dapat dikurangkan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pihaknya, sebanyak 112 sampel sayuran dan 20 sampel beras diuji untuk mengetahui kehadiran racun makhluk perosak.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 98 sampel atau 87.5 peratus sayuran dan 11 sampel (55 peratus) daripada beras didapati mengandungi racun makhluk perosak.
"Pengguna digesa supaya berhati-hati dengan jumlah racun makhluk perosak yang tinggi dikesan dalam sayuran dan beras yang dijual di pasaran. Dalam kajian yang dijalankan, sampel yang diambil adalah dari pelbagai kedai seperti pasar raya, pasar raya besar, pasar basah, pasar mini dan kedai runcit di sekitar Pulau Pinang.
"Beras dan sayur-sayuran ini kemudiannya diuji bagi racun makhluk perosak di Korea. Kajian dilakukan dengan bantuan Wonjin Institute for Occupational and Environmental Health (WIOEH) serta sokongan daripada Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF), Korea," katanya pada sidang akhbar di Pejabat CAP di sini pada Rabu.
Tambah beliau, kebanyakan sayuran yang diuji adalah dari kawasan penanaman utama sayuran di Pulau Pinang.
"Sayuran yang ditanam di situ juga dibekalkan ke negeri sekitar iaitu Kedah, Perlis dan Perak. Selain jumlah racun makhluk perosak yang tinggi, sayuran ini juga didapati mengandungi racun makhluk perosak yang diharamkan di negara Kesatuan Eropah (EU).
"Paling mengejutkan, sayuran paling tinggi mengandungi sebatian racun perosak adalah daun sup iaitu antara julat 1 hingga 35 manakala sayuran paling sedikit (mengandungi sebatian) adalah kubis bulat (1-2)," tambahnya lagi.
Mohideen berkata, ketika ini, hanya racun makhluk perosak yang dinyatakan dalam Jadual Enam Belas (Peraturan 41) Peraturan Makanan 1985 sahaja dibenarkan di negara ini.
"Selain menggunakan racun makhluk perosak yang berlebihan, petani juga menggunakan racun makhluk perosak yang diharamkan atau tidak dibenarkan. Hasil ujian itu juga mendedahkan bahawa terdapat beberapa tanaman mengandungi racun makhluk perosak yang tidak dibenarkan.
"Contohnya, racun makhluk perosak Abamectin yang hanya dibenarkan untuk digunakan dalam buahan seperti tembikai, timun dan tomato, tetapi ditemui dalam daun saderi dan daun bawang. Sementara itu, Carbofuran yang dibenarkan hanya dalam beras ditemui dalam beberapa sayuran berdaun. Sampel itu juga didapati mengandungi racun serangga seperti Malathion dan Metaflumizone," katanya.
Kata beliau, terdapat beberapa jenis sayuran ditolak di luar negara kerana kandungan racun makhluk perosak yang tinggi.
Dalam pada itu, CAP menggesa pihak berkuasa supaya melakukan ujian secara tetap terhadap barangan makanan di pasaran bagi paras kandungan racun makhluk perosak selain mengumumkan hasilnya supaya pengguna boleh mengelakkan barangan makanan yang didapati mengandungi racun makhluk perosak.
"Kita juga mendesak pihak berkuasa menguatkuasakan Jadual Enam Belas (Peraturan 41) Peraturan Makanan 1985. Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan dan memantau amalan pertanian yang baik dan mengadakan program pendidikan bagi petani untuk mendidik mereka mengenai bahaya penggunaan racun makhluk perosak.
"Saya ingin menasihatkan pengguna supaya menuntut amalan pengeluaran makanan yang lebih baik melalui kuasa pengguna. CAP amat memandang serius perkara ini dan menggalakkan pengguna supaya menanam sayuran organik mereka sendiri," katanya.