Taktik ubah suai kenderaan seludup diesel gagal

Iklan
Sazali Mohamad bahagian kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai untuk menyeludup minyak diesel pada 29 Januari lepas.

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 1,780 liter minyak diesel menggunakan kenderaan pacuan empat roda diubah suai di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, pada 29 Januari lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, (Penguatkuasaan & Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, bertindak dalam Ops Khas, Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam menahan enam kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux tanpa muatan dipandu warganegara asing antara jam 7 petang hingga 8.30 malam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat tangki khas (tambahan) yang dipercayai bermuatan minyak diesel semasa pemeriksaan dilakukan di pintu keluar kenderaan ringan/ persendirian (eksport) kompleks itu.

"Ketika pemeriksaan rapi, pasukan menemui minyak diesel di dalam kesemua hasil tangki khas (tambahan) iaitu kenderaan pertama mengandungi 400 liter minyak diesel dan kenderaan kedua mengandungi 200 liter bahan api itu.

Iklan

"Sebanyak 180 liter minyak diesel pula ditemui dalam kenderaan ketiga, diikuti kenderaan keempat sebanyak 130 liter, kenderaan kelima mengandungi 400 liter dan kenderaan keenam mengandungi 470 liter," katanya kepada pemberita pada sidang media JKDM Kedah di Stor Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abd Latiff.

Iklan

Beliau memberitahu, jumlah rampasan minyak diesel ialah 1,780 liter dengan nilai rampasan ditaksirkan berjumlah RM3,827, manakala semua kenderaan yang disita melibatkan kenderaan yang berdaftar di negara jiran yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM315,000.

Menurut Sazali, siasatan mendapati penyeludupan dipercayai dilakukan secara individu dan bukannya sindiket dengan minyak diesel terbabit diperolehi daripada stesen minyak sekitar Bukit Kayu Hitam dan Changlun.

Tambah beliau, penyeludup disyaki mengunakan modus operandi dengan cuba menyeludup minyak diesel menggunakan tangki khas.

Sehubungan itu, kata Sazali, enam lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan untuk siasatan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan kastam.

Sazali (tengah) pada sidang media JKDM Kedah di Stor Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam pada Rabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cuba mengelak dengan cara fraud dan apa-apa duti kastam atau cuba menyeludup keluar barang larangan eksport.

Dalam kes berasingan, Sazali memaklumkan, JKDM merampas 12,448 liter minyak diesel dalam Ops Khas lebih kurang jam 11.45 pagi dua hari sebelumnya di pintu keluar kargo (eksport) Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam menahan sebuah lori 'iso tank container' yang mempamerkan nombor pendaftaran negara jiran dan pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati muatan lori mengandungi minyak diesel.

Sehubungan itu, menurut beliau, dua lelaki ditahan untuk siasatan dan hasil siasatan mengesahkan muatan dalam lori mengandungi minyak diesel dianggarkan RM26,764 dan nilai bagi kenderaan lebih kurang RM90,000.

"Melalui siasatan, modus operandi digunakan adalah cuba mengaburi kastam dan bagi mendapatkan pelepasan terus dengan mengikrar muatan sebagai 'butane mix,"katanya.

Kata beliau, dua lelaki yang ditahan itu dilepaskan dengan jaminan kastam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang tidak berkastam/larangan.

Sazali berkata, pihaknya akan sentiasa memantau ketat pintu keluar negara terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeludup keluar barangan bersubsidi ke luar negara demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

"Mana-mana pihak yang terlibat atau bersekongkol dengan kegiatan menyeludup keluar barangan bersubsidi adalah pengkhianat kepada negara," katanya.

Tambah beliau, tindakan tegas turut dikenakan ke atas apa-apa cubaan menyeludup masuk (import) bagi tujuan mengelak duti/cukai barangan berduti /bercukai dan barang larangan ke dalam negara ini di pintu masuk ke negara ini.

JKDM amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang awam bagi menyalurkan sebarang maklumat untuk membanteras aktiviti penyeludupan ataupun penyelewengan ini yang boleh disalurkan melalui talian hotline 1800-888-855.