Pemandu lori lari tinggal rokok seludup bernilai lebih RM1.5 juta

Iklan
Wan Apandi (tengah) menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas hasil penahanan sebuah lori di LPT1 dekat Gambang di sini pada 20 Februari lalu.

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas 102,000 bungkusan berisi 2,040,000 batang rokok disyaki rokok seludup hasil penahanan sebuah lori di Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT) 1 arah barat dekat Gambang di sini pada 20 Februari lalu.

Pengarah Kastam Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, lori yang dipandu seorang lelaki itu ditahan pihaknya jam 9 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemandu sempat melarikan diri dengan meninggalkan lori di tepi lebuh raya.

"Kejayaan rampasan itu hasil maklumat ampoma (pemberi maklumat) yang melaporkan berhubung pergerakan lori dari pantai timur menghala ke barat disyaki membawa rokok seludup menggunakan laluan tersebut.

Iklan

"Bertindak atas maklumat itu, dua pasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang melakukan pemantauan sebelum berjaya mengesan dan menahan lori tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM Pahang, Indera Mahkota di sini pada Rabu.

Wan Apandi berkata, pemeriksaan pada bahagian muatan lori jenis 'bonded' itu mendapati lori tersebut membawa beberapa kotak berisi rokok putih disyaki rokok tidak bercukai (barangan larangan import).

Iklan

"Rokok yang dianggarkan bernilai RM1.52 juta termasuk cukai dirampas.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan termasuk lori mencecah RM1.58 juta," katanya.

Beliau berkata, semua barang rampasan di bawa ke Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

"Bagi kesalahan itu, individu terlibat boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak terlibat dalam kegiatan itu termasuk pemilik lori yang digunakan.

Wan Apandi berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain- lain.

"Sebarang maklumat berkaitan penyeludupan boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," jelasnya.