KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengenal pasti lokasi sesuai dan berpotensi untuk dijadikan Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, buat masa sekarang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) antara yang terawal menawarkan tapak penganjuran Bazar Ramadan Rahmah.
Menurutnya, KPDN juga sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menjayakan bazar tersebut.
"Kita sedang bincang bagaimana mahu jayakan bazar ini dan melihat lokasi yang berpotensi di seluruh negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Terengganu di Sabasun HyperRuncit Bukit Kecil di sini pada Rabu.
Kempen Jualan Rahmah di Sabasun HyperRuncit melibatkan lima cawangannya di Terengganu yang diadakan bermula 1 Mac hingga 31 Mei bagi 253 barangan secara berperingkat mengikut bulan termasuk biskut raya dengan logo Jualan Rahmah.
Salahuddin berkata, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan mengenai pengurangan harga sewa tapak Bazar Ramadan Rahmah supaya peniaga dapat menjual makanan pada harga lebih rendah dan rakyat pula mampu membeli dengan harga murah
Mengulas mengenai Program Jualan Rahmah, beliau berkata, kira-kira 15 pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara sudah menyertai kempen jualan tersebut yang memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya golongan B40.
Jelas Salahuddin, Program Jualan Rahmah menawarkan harga barangan keperluan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
"Antara pasar raya besar ini, ada yang mempunyai 300 hingga 2,000 cawangan di seluruh negara, taburan ini memudahkan rakyat berbelanja pada harga lebih rendah,” katanya.