SERDANG - Satu laporan polis dibuat ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa nama lain termasuk seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor berhubung dakwaan salah laku.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohd Shukor Mustaffa berkata, laporan polis itu dibuat ekoran nama Ahli Parlimen Gombak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berada dalam senarai antara pengarah syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).
Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Puchong berkata, LLB yang turut menamakan hartawan Tan Sri Vincent Tan sebagai pengarah syarikat telah dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor untuk kerja-kerja pembersihan dan pembangunan Sungai Klang.
Menurutnya, memetik laporan berita sebuah portal berbahasa Inggeris, LLB dianugerahkan menguruskan projek Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur sehingga ke Pelabuhan Klang yang dilaporkan menelan belanja sehingga RM700 juta.
"Lebih mengejutkan kami, laporan portal itu memetik sebagai ganjaran kerja-kerja pembersihan dan pembangunan Sungai Klang, syarikat terkait dengan hartawan itu turut mendapat hak membangunkan tanah di kedua-dua tebing sungai di bawah perjanjian pertukaran tanah.
"Projek pembangunan tanah di kedua-dua tebing sungai tersebut adalah melibatkan pelbagai pembangunan perumahan dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM10 bilion.
"Oleh yang demikian, Bersatu Selangor berharap pihak polis akan segera menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh laporan portal media tersebut berhubung penglibatan Amirudin dan beberapa pihak lain termasuk Ir Izham Hashim," katanya dalam satu sidang akhbar pada Rabu.
Beliau berkata demikian setelah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berhubung isu tersebut.
Skandal LLB itu telah didedahkan oleh Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah melakukan semakan maklumat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung kedudukan Amirudin sebagai antara pengarah syarikat.
Mengulas lanjut, Mohd Shukor berkata, laporan polis dibuat bukan bertujuan membuat pertuduhan kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahu satu siasatan yang adil supaya tidak ada salah guna kuasa atau konflik kepentingan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Jelasnya, laporan yang dibuat adalah memohon pihak berkuasa untuk memulakan siasatan berhubung dakwaan penglibatan secara tidak langsung Amirudin dan Izham untuk projek LLB tersebut.
Katanya, sebagai seorang Menteri Besar, nama Amirudin dan Izham tidak seharusnya berada di dalam LLB dan penganugerahan projek mega itu.
"Kami sangat berharap dan memohon Amirudin dan Izham tampil untuk memberi kenyataan.
"Kalau betul tidak terlibat, mereka perlu membuat satu kenyataan bela diri menyatakan tidak terlibat, selain memberi tahu kenapa nama berada dalam LLB.
"Laporan polis dibuat kerana kita takut berlaku adanya salah guna kuasa atau konflik kepentingan kerana ia melibatkan hak rakyat negeri Selangor," katanya.