Perkataan 'kera' pula kedengaran di Dewan Rakyat

Iklan
Mohd Sany (atas, kanan) dan Mohd Misbahul Munir (atas, kiri) bertikam lidah ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat ibarat tidak sah tanpa gelagat pertikaman lidah antara ahli Parlimen.

Setelah sekian lama dilihat berdiam diri daripada melakukan kekecohan, Mohd Sany Hamzah (PH-Hulu Langat) seakan ‘panas’ apabila Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengeluarkan perkataan tidak berparlimen (unparliamentary) sebagai perumpamaan terhadap sikapnya.

Iklan
Iklan

Shahidan ketika itu sedang menyatakan pendirian Pas sebagai parti yang mengutamakan agama Islam.

"Pas akan terus mengamalkan pendiriannya iaitu kita fanatik kepada agama, kita akan jadi orang yang baik. Pas parti yang Islamik,” ujarnya.

Iklan

Kenyataan Shahidan itu mengundang respons Mohd Sany yang seakan melakukan provokasi terhadap kedudukan Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Kubang Kerian (Tuan Ibrahim) dalam bahaya. Arau (Shahidan) akan bertanding (jawatan) Timbalan Presiden (Pas), bahaya Arau ini,” celahnya.

Iklan

Sejurus itu, Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis menyuarakan kekesalan terhadap provokasi yang cuba dilakukan Mohd Sany dengan membuat perumpamaan sikap itu lebih teruk daripada kera di hutan.

Berang dengan ucapan itu, Ahli Parlimen Hulu Langat meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk mengarahkan Shahidan menarik balik perkataan tersebut sebelum dicelah Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) dan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu).

Johari bagaimanapun dilihat membiarkan sahaja pertikaman lidah itu berterusan sebelum meminta Shahidan memberi penjelasan.

"Saya nak tengok berapa orang nak menjerit. Rakyat sedang tengok, teruskan. Rakyat sedang tengok,” katanya.

Johari kemudiannya bertanyakan kepada Shahidan sama ada beliau ada mengeluarkan perkataan tidak berparlimen itu.

"Arau, adakah Arau sebut perkataan tidak berparlimen, kalau Arau betul-betul insan Islamik, dia akan bercakap benar, jadi adakah Arau keluarkan perkataan tidak berparlimen," soalnya.

Shahidan membalas bahawa beliau hanya meminta supaya Mohd Sany tidak berperangai seperti kera di hutan.