KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu berjaya merampas 3,134 unit barang dan aksesori telefon bimbit jenama Samsung tiruan pelbagai model bernilai RM75,299 dalam satu serbuan minggu lalu.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan pada jam 12 tengah hari oleh 10 penguatkuasa KPDNHEP Kuala Terengganu bersama pemilik cap dagang Samsung itu dilakukan di dua premis berasingan di sekitar bandaraya ini.
Hasil serbuan itu, dua lelaki berusia 30-an yang merupakan pemilik premis perniagaan berjaya ditahan dan diambil keterangan untuk siasatan lanjut.
"Suspek dan barang kes yang dirampas disiasat di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekalkan atau menawarkan barangan yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang dijual atau penjara tidak lebih tiga tahun. Jika dinilaikan jumlah barang kes dirampas, suspek bakal berdepan hukuman denda maksimum RM3.8 juta,” katanya dalam sidang media hari ini.
Saharuddin berkata, siasatan awal mendapati suspek sudah setahun menjalankan perniagaan tersebut dan barangan tiruan itu dijual dengan harga 70 peratus lebih murah berbanding produk tulen.
"Saya nasihatkan orang ramai supaya beli barangan tulen bagi menjamin keselamatan. Barang tiruan walaupun harganya lebih murah kualitinya tidak sama dengan yang tulen,” katanya.
Saharuddin turut memaklumkan bermula Januari hingga semalam, KPDNHEP Terengganu telah memeriksa 13,015 premis di seluruh negeri dengan menghasilkan 234 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Ati Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Daripada jumlah itu beliau berkata, pihaknya merampas pelbagai barangan bernilai RM270,730 dengan kompaun sebanyak RM26,800.
"Sepanjang tahun ini juga, kita telah menerima 185 aduan yang kebanyakannya mengenai tanda harga barang dan kesemua aduan berjaya diselesaikan.
"Terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan aduan dan maklumat mengenai penyalahgunaan, penyelewengan dan isu-isu kepenggunaan.
"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian bebas tol 1-800-886-800, aplikasi WhatsApp 019-2794317, laman Facebook KPDNHEP atau hadir sendiri ke pejabat kita di Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Besut,” katanya.