Dua beradik lemas pandai berenang - Bapa

Iklan
Dua beradik yang ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Sungai Sedim, di Kulim pada Ahad lalu disifatkan amat rapat dan gemarkan melakukan aktiviti lasak. - Foto: Ihsan pembaca.

TASEK GELUGOR - Dua beradik yang ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Sungai Sedim, di Kulim pada Ahad lalu disifatkan amat rapat dan gemarkan melakukan aktiviti lasak.

Malah kedua-dua mangsa, Mohamad Syafiq Yusof, 33, dan adiknya Mohamad Syazwan, 25 juga mahir berenang dan gemar dengan sukan kayak apabila selalu melakukan aktiviti itu bersama sebelum ini.

Iklan
Iklan

Bapa mereka, Yusof Mat, 67 berkata, tragedi yang menimpa anak keduanya dan anak bongsu dari empat beradik itu amat mengejutkan dia sekeluarga kerana kedua-duanya kelihatan ceria pada pagi hari kejadian.

Menurutnya, kedua-dua mereka keluar pada jam 8 pagi bersama tiga orang lagi rakan ke kawasan perkelahan itu dengan menaiki sebuah kereta dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Iklan

"Sebelum keluar pagi tu mereka ada beritahu mahu berkelah di Sedim dan saya sempat pesan supaya jaga diri baik-baik.

"Kira-kira jam 3 petang saya terima panggilan yang beritahu kedua-dua anak saya lemas dan disahkan meninggal dunia... walaupun sedih saya reda dengan ketentuan ALLAH ini," katanya ketika ditemui media di kediaman mereka di Permatang Berangan, di sini pada Rabu.

Iklan

Terdahulu Yusof menerima kunjungan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang yang diketuai pengarahnya, Mustafa Draman bagi menyampaikan faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat.

Faedah itu diterima Yusof menerusi caruman Muhamad Syafiq yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat alam sekitar.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Mustafa menyampaikan pencen penakat dan faedah pengurusan jenazah kepada Yusof di Permatang Berangan, pada Rabu.

Sementara itu, Mustafa berkata, melalui caruman yang dibuat oleh Allahyarham Muhamad Syafiq sebelum ini melayakkan faedah diberikan kepada orang tanggungan.

Katanya, bapa mangsa layak menerima faedah pencen penakat sepanjang hidupnya berjumlah RM331.20 sebulan selain menerima faedah pengurusan jenazah RM2,000.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kejadian tragis apabila cubaan seorang abang menyelamatkan adiknya yang lemas gagal selepas kedua-duanya ditemukan sudah tidak bernyawa di kawasan Air Terjun Sungai Sedim, di Kulim, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata sebelum kejadian, mangsa Mohamad Syafiq Yusof, 33, dan adiknya Mohamad Syazwan, 25, dikatakan mandi bersama tiga rakan mereka di air terjun itu pada 3.20 petang.

"Semasa mandi di kawasan lubuk kawah, tiba-tiba air berpusar dan menenggelamkan kesemua mereka. Empat daripada mereka berjaya naik ke atas menyelamatkan diri, tetapi Mohamad Syazwan hilang dan disyaki lemas.

"Abang mangsa telah terjun semula ke dalam sungai untuk menyelamatkan adiknya. Bagaimanapun, kedua-dua beradik yang berasal dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang itu, lemas,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Mohd Redzuan penduduk kampung turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat sebelum menemukan kedua-dua mangsa yang tenggelam di dasar sungai, pada 3.55 petang.