PUTRAJAYA - Penglibatan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang diketahui selepas mesyuarat diadakan.
Penasihatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perjumpaan tersebut akan dilakukan bersama pimpinan parti.
"Itu (PRN) kita akan bincang selepas ada perjumpaan dengan ahli-ahli pemimpin Putra,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar semasa Majlis Penyerahan Kad Keahlian dan Watikah Penasihat Putra di sini pada Rabu.
Dr Mahathir pada Rabu secara sah telah menyertai parti tersebut dan telah dilantik sebagai penasihat setelah beliau mengumumkan keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada 10 Februari lalu.
Menurut satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah, keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, antara perkara lain yang akan dibincangkan adalah berkaitan perbelanjaan pilihan raya.
Jelasnya, ini kerana terdapat beberapa parti telah menggunakan dana yang banyak untuk memenangi pilihan raya.
"Banyak masalah yang kita hadapi. Di antaranya kegunaan duit dalam pilihan raya. Ada (parti) guna RM300 juta. Kita tidak mahu pilihan raya dikuasai oleh orang yang ada duit sahaja.
"Orang yang ada duit ini kadang-kadang dia curi. Bila curi dan dia dapat jadi kerajaan, jadi kita dapat kerajaan pencuri. Kita nak ke?,” soalnya.
Mahathir turut menyarankan agar perbelanjaan calon pada pilihan raya akan datang dihadkan kepada RM200,000 sahaja.
"Tidak boleh lebih. Kita dapati, parti boleh belanja sampai RM300 juta. Ini bukan pilihan raya, ini acara sogokan untuk jadi Perdana Menteri,” ujarnya.