KUALA LUMPUR - Akibat terkejut dengan kehadiran kenderaan penguat kuasa, sekumpulan pekerja asing lari lintang-pukang meninggalkan rumah kongsi di tapak binaan di Taman Mutiara Barat di sini pada Rabu.
Ada di antara mereka hanya berkain pelekat ketika melarikan diri ke kawasan semak berhampiran menggunakan laluan pagar yang dikopakkan.
Kejadian berlaku ketika Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bersama agensi penguat kuasa lain sekitar jam 9.30 pagi.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Che Awang berkata, siasatan mendapati pihak syarikat tersebut melanggar Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kerana tidak mempunyai perakuan penginapan dikeluarkan (JTK).
Menurutnya, syarikat itu juga gagal mematuhi penyediaan kemudahan asas yang ditetapkan di bawah peraturan tersebut.
"Pihak JTK akan menyiapkan kertas siasatan dan mengambil tindakan tegas dengan mengenakan pendakwaan ke atas syarikat atau kompaun di bawah kesalahan tersebut.
"Di bawah Seksyen 24D, syarikat berdepan kompaun RM50,000 jika sabit kesalahan manakala kegagalan menyediakan kemudahan minimum standard termasuk katil dan tilam boleh didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan," katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata, pihak majikan masih ingkar dan berdegil walaupun akta itu telah di kuat kuasa lebih dua tahun termasuk tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan yang dijalankan.
"Pihak syarikat perlu buat permohonan (perakuan penginapan) dan JTK akan menghantar pegawai untuk bantu sediakan penginapan pekerja supaya mengikut peraturan ditetapkan.
"Sebagai alternatif juga, pihak syarikat boleh meletakkan pekerja di penginapan disediakan oleh pihak ketiga atau dikenali penginapan pekerja berpusat sebagai alternatif," katanya.
Sementara itu, Pengarah CIDB Kuala Lumpur, Datuk S Gerald berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain antaranya JTK, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) pada OPB tersebut.
Katanya, menerusi operasi tersebut, CIDB memberi fokus kepada pematuhan peraturan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) dan peraturan agensi penguat kuasa lain.
"Pemeriksaan mendapati terdapat penyalahgunaan penggunaan perancah A Frame di dalam kerja pembinaan. Hasil sisatan juga mendapati perancah yang digunakan tidak mempunyai Perakuan Pematuhan Standard Bahan Binaan (PPS) oleh CIDB Malaysia," katanya.
Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan terhadap perakuan pendaftaran kontraktor, pendaftaran personel binaan, akreditasi pekerja mahir dan penyelia tapak binaan.
"Akreditasi yang dimaksudkan adalah pekerja perlu mencapai tahap kemahiran berdasarkan pekerjaan mereka.
"Kita akan pastikan pekerja mencapai tahap kemahiran tersebut dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah (ABMWT) disediakan sebagai kemudahan kursus dan tahap penilaian kemahiran bagi memastikan hanya pekerja mahir berada di tapak binaan," katanya.
Ujarnya, akreditasi pekerja mahir dan separa mahir penting bagi menjaga keselamatan pekerja selain menjaga kualiti binaan bagi mengelak aset yang dibina mencurigakan.