50 belia sertai kursus asas malim gunung

Iklan
Seramai 50 belia sertai kursus asas malim gunung dan ikthiar hidup

KUALA PILAH - Seramai 50 belia dari pelbagai negeri telah menyertai Program Ilmu Asas Malim Gunung Dan Ikhtiar Hidup di Hutan Simpan Gunung Angsi di sini baru-baru ini.

Program selama dua hari anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pertubuhan Siap Siaga Rembau serta Persatuan Peduli Waghih Negeri Sembilan itu melibatkan peserta berusia 18 hingga 45 tahun.

Iklan
Iklan

Program berkenaan turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Perhutanan.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, program itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang ilmu pendakian dan perkhemahan yang lebih selamat.

Iklan

"Antara latihan dan modul yang diberi penekanan ialah pertolongan cemas, langkah keselamatan dan menyelamat ketika berlaku kecemasan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling untuk ikhtiar hidup ketika berada di dalam hutan.

"Selain itu kursus ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai ilmu-ilmu perhutanan seperti mengenal tumbuhan liar, mengenali jerat serta mengenal pasti lokasi yang boleh dijadikan tempat perlindungan ketika berada di dalam hutan serta berlaku kecemasan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Selain itu katanya, usaha penganjuran program berkenaan boleh membuka peluang menambah pendapatan khususnya buat mereka yang meminati aktiviti lasak melalui sukan mendaki gunung dengan menjadi malim gunung.

Jelasnya, mereka boleh menjadikan profesion malim gunung sebagai pekerjaan sepenuh masa atau sebagai pekerjaan sambilan.

"YBR berharap dengan penganjuran program seperti ini sedikit sebanyak dapat membentuk kepimpinan serta jati diri belia.

"Ia sekali gus menjadikan mereka lebih bertanggungjawab, mempunyai pelbagai kemahiran dan pengetahuan am di samping melahirkan belia yang berkualiti," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pada tahun lalu seramai 33,903 individu telah menyertai 72 program modal insan kepada masyarakat anjuran YBR yang melibatkan peruntukan RM2.6 juta.

.