KUALA LUMPUR - Kisah perjalanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi korupsi di peringkat nasional diangkat ke layar perak menerusi filem berjudul Anwar, The Untold Story pada Mei ini.
Penerbit eksekutif filem tersebut, Zulkiflee Anwar Haq atau lebih dikenali Zunar berkata, usaha untuk menghasilkan karya tersebut telah bermula sejak 2011, namun disebabkan terdapat banyak kekangan ketika itu, penerbitannya tidak dapat dijalankan.
Jelas beliau, set masa filem itu adalah berdasarkan cabaran yang dihadapi oleh Anwar dalam menangani isu rasuah di negara ini dari tahun 1993 ke 1998, iaitu ketika dilantik sebagai Menteri Kewangan sehingga dipecat dan dipenjarakan.
"Menerusi cerita ini, penonton akan disajikan dengan plot kehidupan beliau (Anwar) yang diketahui oleh orang ramai, dan juga cerita terpendamnya yang ramai masyarakat tidak tahu akan dibawa dalam karya ini seperti kehidupan beliau semasa dalam penjara.
"Jadi, bagi menjayakan pembikinan karya ini, ramai individu yang telah kita temu bual termasuk juga mendapatkan laporan tentang keadaan beliau (Anwar) sewaktu di penjara” katanya ketika majlis pelancaran filem tersebut di W Hotel di sini, pada Rabu.
Filem terbitan produksi Bianglala Entertainment itu menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Farid Kamil, Hasnul Rahmat dan Acha Septriasa.
Dalam pada itu, Zunar ketika ditanya adakah penerbitan karya itu bersempena dengan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, beliau menjawab, pembikinannya itu sudah berjalan semenjak 2021.
"Karya ini kita sudah usahakan sebelum beliau (Anwar) menjadi Perdana Menteri lagi, dan kita ketika itu pun tak menyangka yang dia akan jadi Perdana Menteri.
"Bahkan, banyak penggambaran filem ini dijalankan di Indonesia atas beberapa faktor halangan semasa,” ujarnya.
Beliau berharap, menerusi penerbitan karya itu dapat mengangkat semangat juang dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memerangi rasuah.
Sementara itu, pelakon yang memegang watak sebagai Anwar iaitu Farid Kamil menyifatkan ia sebagai sejarah pertamanya dalam membawa watak berpengaruh sepanjang karier.
Katanya, semasa menerima tawaran lakonan filem tersebut, berbagai perkara yang bermain di minda beliau ketika itu.
"Memandangkan filem ini diusahakan sebelum Anwar dilantik Perdana Menteri, bermacam-macam perkara yang bermain dalam kepala.
"Disebabkan saya menjalani lakonan di Indonesia saya terfikir, kalau ia berjaya diterbitkan, saya terfikir apakah nasib saya ketika itu, adakah saya akan dapat pulang ke Malaysia untuk mengundi kerana pada masa tersebut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah hampir tiba.
"Jadi, saya berdoa, nak tak nak, Anwar mesti juga jadi Perdana Menteri, dan akhirnya doa saya saban hari ini terkabul,” ujar beliau.
Jelas Kamil, iltizam beliau menzahirkan watak itu adalah kerana kagum dengan usaha Anwar memerangi korupsi.
"Jadi, dalam cerita ini, penonton akan diperlihatkan tentang bukan sahaja usaha memerangi rasuah, tetapi juga bagaimana menolaknya, sebab ramai orang tak faham tentang helah jenayah ini,” katanya.