KTM tambah kekerapan perkhidmatan Komuter Sektor Utara

Iklan
Anthony (kanan) bertanyakan sesuatu kepada penumpang perkhidmatan komuter sektor utara pada Rabu.

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Komuter Sektor Utara dari Butterworth ke Padang Besar kini boleh menarik nafas lega apabila kekerapan perkhidmatan itu ditambah dari 26 ke 36 perjalanan setiap hari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dengan pertambahan kekerapan perjalanan perkhidmatan komuter itu ia boleh mengurangkan masa menunggu dari 60 minit kepada 20 minit sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kekerapan perjalanan dilaksanakan sejak 18 Februari lalu itu juga memberi kesan kepada pertambahan penumpang yang meningkat tujuh peratus sejak dua minggu lalu dari 10,480 meningkat kepada 11,224 penumpang setiap hari.

"Susulan penangguhan sementara perkhidmatan Skypark Link pada 15 Februari lalu, tiga set tren 3-gerabak EMU telah dihantar ke utara untuk penambahbaikan perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Butterworth ke Padang Besar.

Iklan

"Sudah pasti kami di Kementerian Pengangkutan sedaya upaya akan menambah kualiti perkhidmatan untuk keselesaan pengguna yang setiap hari menggunakan komuter untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja," katanya pada sidang akhbar selepas membuat lawatan di Stesen KTM Bukit Mertajam di sini, pada Rabu.

Anthony berkata, pihaknya juga menerima permintaan agar perkhidmatan bagi sektor Butterwort ke Padang Rengas ditambah malah ada yang mencadangkan agar laluan dari Padang Rengas di teruskan sehingga ke Ipoh.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, dalam tinjauan yang dilakukan pada Rabu mendapati rata-rata pengguna berpuas hati dan gembira dengan penambahan kekerapan perjalanan yang dilaksanakan.

Malah katanya, ada diantara mereka mengakui kualiti kehidupan mereka lebih baik apabila dapat sampai ke rumah masing-masing sebelum jam 7 petang selepas seharian bekerja.

Semua stesen KTM akan dilengkapi lif

Dalam pada itu, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan akan memastikan semua stesen KTM di seluruh negara mempunyai kemudahan lif dalam usaha memudahkan warga emas, wanita mengandung dan orang kurang upaya (OKU) menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Menurutnya, kemudahan tersebut menjadi keutamaan pihaknya dalam usaha menaik taraf dan menambah baik kemudahan yang terdapat di stesen berkenaan.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya akan melihat keperluan stesen yang perlu dinaik taraf atau diperbesarkan bagi menampung jumlah penumpang yang semakin bertambah.

"Baru-baru ini ketika meninjau (stesen KTM), saya ada terjumpa seorang wanita mengandung dan disebabkan tiada kemudahan lift, pihak pengurusan buka pintu laluan khas di bawah untuk memudahkannya melintas.

"Sebab itu saya kata penting kemudahan lif kerana memang terdapat stesen yang tiada lif, kalau kita nak galakkan rakyat guna perkhidmatan awam kita perlu tambah baik perkhidmatan," katanya.

Berhubung kesesakan di stesen berkenaan ketika waktu puncak, Anthony berkata, memang ada perancangan menaik taraf pada masa depan dan memerlukan kos yang tinggi.

"Bagaimanapun, kita akan bincang dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk mencari penyelesaian dalam hal ini," katanya.